Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin, berkata pihaknya sudah mengenal pasti segala kelemahan pasukan itu musim lalu dengan skuad yang kini disifatkannya sebagai sudah lengkap.
Antaranya dengan membawa masuk tiga penjaga gol baru, iaitu Haziq Nadzli dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Ramadhan Abdul Hamid (PDRM) dan penjaga gol muda Negeri Sembilan, Firdaus Irman Mohd Fadhil.
"Memang ketara sangat kekurangan yang ada musim lalu dengan jumlah bolos dan jumlah gol yang kami jaringkan," katanya ketika diundang sebagai tetamu jemputan dalam Nadi Arena sebentar tadi.
"Kalau kita lihat, cara permainan Perak musim lalu ada perubahan daripada daripada separuh musim pertama dan selepas Yusri Che Lah mengambil alih tugas (sebagai ketua jurulatih), asasnya sangat berbeza dan kami dapat lihat arah tuju yang jurulatih Yusri mahu lakukan dan kami cuba untuk mengatasi kelemahan yang kami ada.
"Skuad kami sudah lengkap, semua sudah selesai.
"Paling kelihatan di posisi penjaga gol, di mana kami akan mengumumkan kemasukan tiga penjaga gol baru.
"Selain itu di posisi pertahanan tengah, sayap dan bahagian tengah.
"Semuanya atas permintaan jurulatih Yusri sendiri kerana tahun lepas, memang tiada pemain gantian di bahagian pertahanan dan disebabkan itu kami mendatangkan Tommy Mawat Bada dan ada seorang lagi pertahanan kanan yang kami bawa masuk," katanya.