Ketua jurulatih PDRM, P. Maniam, mengakui pasukannya memerlukan khidmat seorang lagi penyerang tatkala jendela perpindahan kedua Liga Malaysia sudah pun dibuka semalam.

Pengendali itu percaya kehadiran penyerang baru itu mampu meringankan beban Ifedayo Olusegun, sekali gus membantu 'the cops' mendaki carta Liga Super musim ini.

Selepas mengharungi lapan perlawanan, Sang Saka Biru telah mencetak sembilan gol dan kini berada di kedudukan keenam liga dengan 11 mata hasil daripada tiga kemenangan, dua kali seri dan tiga kekalahan.

Maniam turut berharap tempoh rehat hampir sebulan yang dilalui pasukannya mampu dimanfaatkan sebaik mungkin dalam mengenal pasti kelemahan menjelang aksi seterusnya berdepan Sri Pahang di Temerloh pada 15 September depan.

"Kami memiliki Ifedayo sebagai penyerang nombor 9, jadi kalau boleh, kalau kami memiliki seorang lagi penyerang sepertinya, ia akan banyak membantu pasukan PDRM," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Tetapi kami perlu melihat kepada keputusan pihak pengurusan sama ada mereka bersetuju atau tidak.

"Bahagian pertahanan, kami memiliki pemain tempatan yang mampu membantu, jadi saya rasa sudah mencukupi.

"Ini adalah peluang untuk saya mempersiapkan pasukan ini dengan lebih baik kerana kami memiliki lebih kurang sebulan (rehat) dan pemain harus faham lebih banyak mengenai ruang taktikal.

"Masa sebulan ini akan digunakan untuk memberikan banyak saranan buat pemain untuk menjalani latihan dan mempersiapkan diri dengan lebih baik," katanya.