Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: Paulo Josue hormati reputasi JDT

paulo-josue.jpg
Kunjungan Kuala Lumpur City FC ke Johor Bahru bagi perlawanan tumpuan Liga Super esok dikejutkan dengan perkhabaran kurang baik apabila kapten pasukan, Paulo Josue, yang belum pasti cergas sepenuhnya sebelum sepak mula.

Situasi itu secara tidak langsung meletakkan skuad Warga Kota dalam misi mustahil untuk mencalar rekod sempurna Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan yang dilabel pra-final Piala FA tersebut. 

Josue merupakan pemain paling penting dalam sistem percaturan Bojan Hodak apabila muncul satu-satunya pemain yang beraksi dalam kesemua aksi Liga Super musim ini, namun pemain naturalisasi terbaru negara itu sedang bergelut untuk pulih daripada kecederaan pangkal paha.

Namun, Josue tetap berupaya menawarkan perspektif kekuatan JDT berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya ketika latihan skuad kebangsaan yang dibarisi sekelompok besar bintang yang berpangkalan di selatan tanah air itu. 

"Bukan mudah untuk merantai (Ariff Aiman Hanapi) dan gemar berdepan satu lawan satu. 




"Dia tegap walaupun bertubuh kecil dan cukup sukar untuk merampas bola daripadanya.

"Tetapi sudah pasti kami tidak hanya memberi tumpuan kepada mereka. Malah, pertahanan mereka walaupun sering naik tinggi cukup pantas untuk menutup semula ruang. 





"Kebanyakan pemain dalam barisan mereka merupakan antara yang terbaik di Asia Terenggara," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi. 

Kali terakhir skuad Warga Kota mengejutkan Harimau Selatan adalah pada 579 hari yang lalu iaitu di pentas final Piala Malaysia dan sejak pada itu, ketiga-tiga perlawanan selanjutnya memihak juara 10 kali berturut-turut berkenaan menerusi 11 gol secara keseluruhan.

KL City tempang tanpa lima tonggak utama ekoran kecederaan dan penggantungan pemain dan paling terkesan, ketiadaan Giancarlo Gallifuoco serta gandingan adik beradik Lambert yang masih dibelenggu kecederaan.

"Situasi kami untuk bertandang ke sana diburukkan lagi tanpa skuad utama dan dalam pertembungan di Cheras pula kami dibolosi tiga gol. 

"Kami akan cuba tetapi bukan mudah tanpa tunjang utama. 

"Apa pun, sesiapa jua yang diturunkan kelak akan membantu pasukan," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video