Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan lewat malam tadi menafikan dakwaan Perak tidak diberikan ruang untuk berbincang sebelum aksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Ipoh kelmarin terpaksa ditunda berikutan cuaca buruk.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Giorgio Pompili Rossi, menjelaskan bahawa keputusan untuk menangguhkan perlawanan itu dibuat berdasarkan Manual Liga Malaysia 2024-2025.

Berdasarkan laporan awal komisioner perlawanan, penangguhan perlawanan yang dijadual jam 8:15 malam itu dibuat mengikut Peraturan 2.8.1, perlawanan yang dihentikan berikutan hujan lebat sehingga mengakibatkan padang tidak sesuai untuk digunakan.

"Komisioner perlawanan telah mengikut proses yang ditetapkan di mana perlawanan tidak boleh dimulakan lagi dan kedua-dua kelab hendaklah menunggu perlawanan untuk dimainkan semula dalam masa maksimum 60 minit (30 minit pertama dan 30 minit kedua) dengan persetujuan kedua-dua kelab.

"Selepas selesai tempoh menunggu itu, keadaan padang masih tidak boleh digunakan maka komisioner perlawanan telah memaklumkan kepada kedua-dua kelab mengenai keputusan untuk menangguhkan perlawanan itu.

"Justeru dakwaan Perak FC adalah tidak benar kerana pasukan tuan rumah mengetahui mengenai keadaan semasa padang itu kerana mereka telah dimaklumkan oleh komisioner perlawanan untuk menunggu dalam tempoh 30 minit + 30 minit seperti yang ditetapkan dalam peraturan pertandingan.

"Meskipun pemeriksaan padang telah dilakukan pada jam 6:00 petang, itu tidak bermakna padang dalam keadaan yang boleh digunakan kerana keputusan untuk meneruskan atau menangguhkan perlawanan dibuat dengan menilai keadaan padang berdasarkan keadaan terkini sebelum sepak mula yang jelas terjejas teruk akibat hujan lebat.

"Jelas di sini bahawa kenyataan Perak FC mengenai mereka tidak diberi ruang dan peluang untuk berbincang sepanjang proses membuat keputusan semalam adalah bercanggah, menyimpang dan tidak menggambarkan keadaan sebenar pada ketika itu," kata Rossi seperti dipetik daripada kenyataan itu.