Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: JDT terus gah di tangga teratas, Selangor bangkit penuh dramatik

jdt.jpg
PERAK 0 JOHOR DARUL TA'ZIM 5

Johor Darul Ta'zim FC (JDT) terus gah di tangga teratas Liga Super apabila berpesta gol 5-0 ke atas Perak FC di Ipoh sebentar tadi.

Pasukan pelawat itu memperoleh jaringan pembukaan seawal minit kelima apabila lintangan Arif Aiman Hanapi ditampan masuk ke gawang sendiri oleh penjaga gol Perak, Hasnul Zaim.

Berselang 20 minit, Harimau Selatan memperoleh sepakan penalti gara-gara Leandro Velazquez dijatuhkan Fadhil Idris dan pemain kelahiran Argentina itu tenang menyempurnakan sepakan berkenaan.

Diogo Santo kemudian menambah satu lagi gol buat JDT menerusi penyudahnya pada penghujung babak pertama.

JDT terus menguasai permainan dalam babak kedua dan penyerang utama, Bergson da Silva, melebarkan kelebihan mereka pada minit ke-66 sebelum Leandro memperoleh gol kedua peribadinya dalam waktu kecederaan.

Sementara itu, Aksi di Petaling Jaya pula menyaksikan Selangor FC bangkit penuh dramatik untuk menewaskan Negeri Sembilan FC 2-1.

Selangor menguasai hampir keseluruhan babak pertama tetapi mereka dikejutkan pada penghujung babak berkenaan apabila Negeri Sembilan dihadiahkan sepakan penalti selepas Richmond Ankrah didapati menjatuhkan Casagrande dan Herold Guolon tidak berdepan masalah untuk menewaskan Khairulazhan Khalid untuk skuad Jang itu mendahului.

Selangor memperkemaskan aksi dan bermula garang di bahagian depan sebaik perlawanan bersambung untuk Faisal Halim menyamakan kedudukan pada minit ke-56.

Ketika kedua-dua pasukan kelihatan akan menamatkan saingan dengan satu mata, pemain pertahanan, Sharul Nazeem Zulpakar, muncul wira Selangor apabila menanduk masuk gol kemenangan Gergasi Merah dalam waktu kecederaan.

Keputusan di Kuala Terengganu pula menyaksikan pasukan tuan rumah, Terengganu FC, mengungguli 'Derby Pantai Timur' dengan membelasah Kelantan FC 5-0.

Ivan Mamut muncul penjaring gol berganda buat skuad Peteh itu sambil Jordan Mintah, Adisak Kraisorn dan Hakimi Abdullah turut mencatatkan nama selaku penjaring.


 

Advertisement

Must Watch Video