Pemain berdarah campuran Malaysia-Puerto Rico, Isaac Angking, berkongsikan keputusan tetap perlu dilakukan sama ada memilih untuk mewakili Malaysia mahupun Puerto Rico.
Terdahulu, Isaac yang sebelum ini berpotensi mewakili Harimau Malaya memilih mewakili Puerto Rico selepas menerima panggilan pertamanya untuk mewakili negara di ranking ke-155 dunia itu pada 2021.
Pemain berusia 26 tahun itu layak mewakili Malaysia berdasarkan status ibunya yang dilahirkan di Sarawak, namun selepas diturunkan mewakili negara lain dalam satu perlawanan rasmi FIFA, terutama yang melibatkan saingan Piala Dunia, kelayakan itu akan hilang secara serta-merta.
"Saya dilahirkan dan dibesarkan di Amerika Syarikat tetapi keluarga saya mereka berasal dari Kuching, Sarawak.
"Untuk yang tidak tahu nama saya Isaac Anking, saya bermain bola sepak secara profesional di Amerika Syarikat sebelum mengalami kecederaan achilles (urat keting) pada awal tahun ini.
"Sekarang saya fokus sepenuhnya pada pemulihan, habiskan masa bersama keluarga saya di Malaysia.
"Saya suka bola sepak Malaysia, ia hebat. Tetapi pada penghujung hari tetap perlu memilih serta buat keputusan dan sekarang bagi saya adalah bola sepak Puerto Rico, saya tidak akan menyesal pilih beraksi buat Puerto Rico. Saya tetap berbangga menjadi orang Malaysia juga.
"Saya hanya fikirkan keputusan terbaik untuk saya dan keluarga saya sekarang adalah untuk beraksi untuk Puerto Rico." katanya dalam sebuah temu bual yang tular di media sosial.
Untuk rekod, dia telah melakukan tujuh penampilan buat Puerto Rico dan meledak empat gol.