Juara quadruple berganda, Johor Darul Ta'zim FC (JDT), berpesta lima gol ke atas Penang dalam separuh masa pertama aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri sebentar tadi.

Menjelang keraian kejuaraan liga mereka malam ini, Harimau Selatan membuka jaringan seawal minit kelima menerusi bintang sensasi negara, Arif Aiman Hanapi, sebelum Bergson da Silva menjaringkan gol berganda, masing-masing pada minit ke-18 dan 33.

Seorang lagi penyerang negara, Akhyar Rashid, turut menemui sasaran pada minit ke-41 dan Heberty memastikan kelebihan lima gol Harimau Selatan sebelum waktu rehat menerusi penyudahnya pada minit ke-43.