Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: JDT bakal terima tentangan sengit Selangor, kata Solari

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

jdt-esteban-solari.jpg
Kesebelasan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan tentangan sengit ketika melayani kunjungan Selangor FC bagi aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam esok.

Menurut ketua jurulatih JDT, Esteban Solari, skuad The Red Giant itu memiliki ramai pemain berkualiti selain merupakan pasukan yang sukar ditewaskan.

“Ya, kami akan mengharungi satu lagi perlawanan yang sukar. Tapi ini adalah bola sepak. Anda baru sahaja menang (Piala FA) tapi tak boleh meraikannya terlalu lama kerana anda perlu bersedia untuk berdepan lawan yang seterusnya selepas itu.

“Kali ini, lawan anda pula bukannya calang-calang pasukan. Kami akan berdepan Selangor, pasukan yang sukar untuk ditewaskan, malah tampil dengan pemain baru.

“Apa pun, kami tetap perlu bersedia selain bekerja keras bagi mengharungi perlawanan dengan Selangor ini,” katanya menjelang aksi berkenaan.

Untuk rekod, JDT menang 4-0 ke atas Selangor dalam aksi pusingan pertama Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 17 Mac lalu.

Malah, skuad Harimau Selatan itu turut menang dengan jaringan sama dalam separuh akhir Piala FA di venue sama pada 26 Jun lalu.

Justeru, 'sayembara' dua pasukan teratas Liga Super itu dijangka berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan berkenaan pasti mahu melakar keputusan terbaik dan mengukuhkan kedudukan dalam carta liga.

Sementara itu, ‘hero’ aksi final Piala FA minggu lalu, Nathaniel Shio Hong Wan, berharap kesemua rakan sepasukannya dapat memberikan fokus kepada aksi berdepan Selangor dalam usaha meraih tiga mata berharga di laman sendiri.

Katanya, biarpun menyedari bakal berdepan tentangan sengit, dia percaya kesebelasan pemain JDT mampu melakukan yang terbaik.

“Kami telah meraikan kejayaan (Piala FA) dan kami kini akan berikan fokus pula untuk berdepan Selangor.

“Walaupun saya tahu pasukan ini sukar untuk ditewaskan, saya percaya rakan-rakan sepasukan mampu berikan yang terbaik,” katanya.

Kredit: Sinar Harian

 

Advertisement

Must Watch Video