TERENGGANU 1 NEGERI SEMBILAN 1
Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC terpaksa rela berkongsi mata dalam pertembungan Liga Super di Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.
Pelawat seharusnya menarik nafas lega apabila berhasil menyamakan kedudukan tatkala seminit menuju masa kecederaan menerusi tandukan pemain import tinggi lampai, Herold Goulon, bagi menebuskan kehampaan awalnya yang gagal melunaskan sepakan penalti seawal minit ke-6.
Sang Penyu melancarkan serangan bertali arus sepanjang babak pertama tetapi terus berdepan kebuntuan sebelum Ivan Mamut menceriakan kem tuan rumah pada minit ke-66 apabila melengkapkan hantaran lambung Sonny Norde.
Norde sendiri memiliki kesempatan menarik sebelum wisel penamat ditiupkan apabila berjaya menyusup ke depan muka pintu gol tetapi sepakannya ditampan oleh penjaga gol Negeri Sembilan.
Dalam satu lagi pertemuan ke-18 malam ini, Kelantan United bangkit untuk memungut satu mata yang menyaksikan empat gol terhasil dalam separuh masa kedua.
Dua gol yang terhasil dalam tempoh sembilan minit permainan bersambung bukan satu jaminan apabila Sang Saka Biru mula mengurangkan defisit permainan menerusi pemain import Filipina, OJ Porteria, sebelum dilengkapkan S. Sharvin.
Shaiful Shamsudin
Fri Jul 28 2023