Skip to main content

Bola Sepak

Ledakan Kolarov pastikan mata penuh buat Serbia

kolarov.jpg
COSTA RICA 0 SERBIA 1

Sepakan percuma sensasi daripada Aleksandar Kolarov menjadi pemisah kepada Serbia untuk memulakan kempen Piala Dunia 2018 dengan kemenangan 1-0 ke atas Costa Rica dalam aksi Kumpulan E, sebentar tadi. 

Serbia, beraksi buat pertama kali secara kompetitif di bawah bimbingan Mladen Krstajic, mendominasi permainan di Samara Arena, namun mendapati sukar untuk menembusi pertahanan Costa Rica sehinggalah gol Kolarov ketika permainan hampir berusia sejam. 

Cemerlang sepanjang perlawanan, Keylor Navas, bagaimanapun hampir mustahil untuk menidakkan sepakan percuma itu yang melencong ke sudut kiri atas untuk menembusi gawangnya. 

Serbia sememangnya berhak ekoran penguasaan permainan walaupun peluang terbaik pada babak pertama hadir menerusi pemain Costa Rica, Giancarlo Gonzalez, yang terlepas peluang dengan tandukan dari jarak dekat.

Sebelum jaringan Kolarov, Serbia hampir merobek gol lawan menerusi Aleksandar Mitrovic -- yang menjadi duri dalam daging kepada Costa Rica -- apabila berpeluang untuk menguji Navas pada awal babak kedua.

Mitrovic sekali lagi melepaskan peluang terhidang pada lewat perlawanan, namun ketumpulannya itu tidak menjejaskan Serbia untuk memungut mata.

Kedua-dua belah pertahanan diuji sebaik wisel dititupkan -- Mitrovic melihat usahanya diselamatkan di atas garisan sebelum tandukan Gonzalez tepat menuju ke arah Vladimir Stojkovic.

Gonzalez kemudian mensesiakan satu lagi peluang terbuka apabila tandukan pemain pertahanan Bologna itu meliar walaupun tidak dikawal sesiapa.

Dalam penampilannya yang ke-104, Branislav Ivanovic membuat larian deras di bahagian kanan, namun Navas tangkas menyekat sepakan lintangnya daripada disambar Mitrovic.

Sergej Milinkovic-Savic sepatutnya melakukan lebih baik untuk menyudahkan peluang jarak dekat pada minit ke-27, begitupun dia sudah didapati ofsaid.

Serbia hampir dihukum ekoran kelekaan apabila membenarkan Francisco Calvo meluru ke arah gol, mujur tindakan penyudahnya meliar sambil Costa Rica menikmati dominasi singkat menuju waktu rehat.

Penjaga gol Real Madrid, Navas, sekali lagi dipaksa membuktikan kemampuannya lima minit selepas permainan bersambung apabila dia dikerah menafikan percubaan Mitrovic dari jarak 10 meter.

Begitupun, Navas tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalang jaringan Kolarov yang menakjubkan.

Oscar Ramirez kemudian memasukkan bekas tonggak Arsenal, Joel Campbell, bagi meningkatkan pemburuan Costa Rica untuk gol penyamaan, dan penyerang itu menagih simpati pengadil untuk penalti selepas diasak Dusko Tosic.

Campbell tampak terganggu dengan insiden itu sehingga gerakannya di depan pintu gol dipatahkan Nikola Milenkovic.

Pemain gantian Serbia, Filip Kostic, serta Mitrovic kedua-duanya terlepas peluang keemasan untuk menggandakan kedudukan Serbia pada lewat permainan.

Begitupun, Serbia enggan membiarkan situasi itu mengecewakan mereka. Insiden perbalahan di antara Nemanja Matic dan jurulatih Costa Rica turut tidak menghalang Serbia meraih kemenangan kedua dalam tujuh aksi terakhir di peringkat kumpulan Piala Dunia.

Advertisement

Must Watch Video