Skip to main content

Bola Sepak

Le Classique: Situasi Neymar buat PSG berpeluh

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

neymar_10.jpg
Neymar jatuh sakit menjelang aksi "Le Classique" di antara Paris Saint-Germain (PSG) dan Marseille dalam Ligue 1, hujung minggu ini.

Pemain termahal dunia dari Brazil itu telah memainkan peranan penting untuk PSG mendominasi Ligue 1 musim ini, namun dia dibuang padang ketika seri 2-2 di Velodrome Stade.

Neymar bergelut untuk cergas dalam pertemuan kedua mereka musim ini selepas tidak dapat turun berlatih semalam di samping bintang tengah, Marco Verratti, yang menderita kecederaan perut.

"Kami kehilangan dua pemain, Verratti dan Neymar," kata Unai Emery dalam sidang media. "(Stanley) Nsoki yang mengalami kecederaan ringan di lutut juga tersisih. 

"Verratti menjalani latihan fisioterapi sejak awal minggu ini. Dia tidak cergas 100 peratus.

"Neymar sakit, begitu juga Lass (Diarra) yang dilanda demam, namun dia ada di sini hari ini, saya harap situasinya juga sama buat Neymar."

Emery menegaskan pasukannya bersedia menanti kunjungan Marseille setelah persembahan mereka di tempat lawan mendapat kritikan. 

"Mereka sedar betapa pentingnya perlawanan ini," kata Emery lagi. "Semua pemain sedar ia permainan yang berbeza. Di Sepanyol, saya melihat pertembungan ini.

"Kylian (Mbappe) sangat licik, dia dalam proses untuk berkembang. Setiap permainan adalah mengenai kemajuan, saya percaya dia berada di landasan yang betul."

Bagaimanapun, pengendali itu sekali lagi menjangkakan perlawanan tegang menentang barisan Rudi Garcia itu.

"(Dimitri) Payet dan (Florian) Thauvin beraksi baik," katanya. 

"Marseille bermain dengan baik yang menyaksikan kami berdepan masalah dalam pertemuan terakhir kami."

Advertisement

Must Watch Video