Perlawanan Kumpulan D CelcomDigi Liga Sepak Takraw (STL) Premier membabitkan Selangor Pistons dan Kuala Lumpur (KL) Thunder tergendala seketika berikutan kontroversi keputusan pengadil, sekali gus situasi bertukar panas di Stadium Titiwangsa, KL malam tadi.
Segalanya bermula dengan penyelamatan bola oleh bintang kebangsaan, Farhan Adam, namun pembantu pengadil mendakwa ia mengenai lantai terlebih dahulu sebelum pengadil memutuskan untuk mengulangi semula permainan selepas semakan panjang video.
Keadaan semakin memuncak apabila Pistons mempersoalkan ketetapan pengadil selepas insiden kontroversi yang berakhir tanpa keputusan jelas mengenai mata yang sepatutnya dianugerahkan.
Selangor Pistons akhirnya meraih kemenangan 2-1 usai membuktikan ketahanan mental melakar kebangkitan menewaskan tuan rumah dalam aksi penuh drama dan emosi.
Rata-rata peminat sebulat suara menjadikan aksi tersebut antara yang terbaik sepanjang Grand Prix (GP) KL setakat ini.