Skip to main content

Bola Sepak

Langkah FAM perhalusi pemilihan pengadil disambut baik

jdt-fitri-maskon-pengadil.jpg
Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman, menyifatkan tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengubah prosedur badan induk itu dalam pemilihan pengadil sebagai langkah bijak setelah wujud kontroversi terhadap mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M). 

FAM akur dengan desakan dengan membuat ketetapan baru bagi pemilihan pengadil menerusi pelaksanaan pengadil berkecuali untuk semua perlawanan selepas ini.

Ia diputuskan oleh Jawatankuasa Pengadil FAM kerana prosedur sebelum ini yang membenarkan pengadil mengadili pasukan negeri kelahiran mencetuskan kontroversi.

Perkara itu disambut baik Afizal setelah beliau antara individu yang menuntut prosedur pemilihan pengadil itu dikaji semula susulan insiden di Stadium Larkin, Jumaat lalu.

"Apa yang kami cadangkan ini mungkin menjadi titik tolak kepada sistem pengadilan dalam Liga-M.

"Ia bukan sahaja meningkatkan kualiti pengadilan, bahkan kepada bola sepak itu sendiri," katanya. 

Pengadil, Fitri Maskon, mencuri tumpuan apabila dia yang dilahirkan di Johor tetapi didaftarkan sebagai pengadil di Melaka ditugaskan untuk mengadili perlawanan di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Felda United.

Perlawanan itu menyaksikan tiga layangan kad merah daripada Fitri selain lapan minit masa tambahan yang diberikan, memberi kelebihan buat JDT untuk menewaskan The Fighters 3-1.

"Perlawanan itu sudah pun berlalu dan Felda juga telah melupakan kejadian itu. 

"Kami sedang dalam persiapan untuk aksi seterusnya (bertemu Kuala Lumpur) esok," katanya lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video