Skip to main content

Bola Sepak

Lahm yakin Bayern mampu hadapi Madrid tanpa bintang utama

lahm-180417.jpg
Ketua pasukan Bayern Munich, Philipp Lahm, menegaskan kelab gergasi Bundesliga itu mampu menampung ketiadaan beberapa tonggak utama dalam perlawanan kedua suku akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid, awal pagi esok. 

Mats Hummels, Jerome Boateng dan Robert Lewandowski semuanya dalam keraguan -- walaupun pemain antarabangsa Poland itu mungkin boleh diturunkan -- namun Lahm tetap yakin dengan peluang Bayern untuk bangkit daripada kekalahan 2-1 mereka dalam pertemuan pertama.

"Sudah tentu, Mats cukup penting tetapi kami mempunyai beberapa pilihan lain yang boleh mengisi posisinya," kata Lahm menjelang perlawanan di Santiago Bernabeu.

"Kami semua sukakan permainan ini dan Mats akan melakukan segala-galanya untuk bermain di sana. Saya bukan seorang doktor tetapi adalah lebih bagus andai sekurang-kurangnya salah seorang daripada pertahanan tengah kami dapat beraksi.

"Lewandowski banyak menjaringkan gol dan sangat penting bagi kami, namun kami masih mempunyai banyak kualiti sungguhpun kehilangan beberapa pemain utama. Kami akan berbuat apa sahaja untuk menang.

"Kami telah menunjukkan pada masa lalu bahawa kami juga boleh menang di tempat lawan tetapi adalah jelas bahawa kami bukan pasukan pilihan.

"Ia akan menjadi aksi yang sangat sukar tetapi saya percaya dengan pasukan ini dan saya yakin ia tidak akan menjadi permainan terakhir saya di Eropah."

Skuad Carlo Ancelotti gagal menyerlah dalam aksi Bundesliga yang berkesudahan 0-0 dengan Bayer Leverkusen, Sabtu lalu. 

Advertisement

Must Watch Video