Philip Lahm menegaskan musim ini bukan yang terakhir buat dirinya bersama Bayern Munich tatkala skuad kendalian Carlo Ancelotti meneruskan persiapan bagi menghadapi separuh kedua musim ini.
Gergasi Bavarian itu sedang berada di Qatar bagi menjalani latihan pada musim panas menjelang sambungan Bundesliga berdepan Freiburg pada 20 Januari ini.
Selepas mencapai umur 33 tahun November lalu, Lahm -- yang bersara daripada pentas antarabangsa selepas kejayaan Jerman pada tahun 2014 -- kini berada di penghujung kariernya.
Namun, kapten serba boleh itu -- yang mampu beraksi di bahagian tengah dan pertahanan -- yakin masih banyak yang mampu disumbangkan di atas padang.
"Ini adalah kem latihan pertengahan musim yang kedua terakhir dalam karier saya," jelasnya kepada Bild.
"Kontrak saya akan tamat pada 2018."
Bayern ketika ini mendahului saingan Bundesliga dengan tiga mata di atas RB Leipzig.
Selepas menamatkan aksi separuh masa pertama musim ini dengan kemenangan 3-0 ke atas Leipzig, Lahm melihat skuad kendalian Carlo Ancelotti akan tampil lebih ampuh selepas mengambil alih jawatan yang ditinggalkan Pep Guardiola, Julai lalu.
"Kami perlu mencapai keseimbangan di antara menyerang dan bertahan," katanya.