Skip to main content

Bola Sepak

La Roja juarai kumpulan biarpun raih seri dramatik

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

iago-aspas_yfpyydyr4izs1f15dybpbe9qa.jpg
SEPANYOL 2 MAGHRIBI 2

Sepanyol menempah slot pusingan 16 Piala Dunia untuk bertemu tuan rumah, Russia, selepas meraih keputusan seri 2-2 dengan Maghribi dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Kaliningrad, awal pagi tadi.


Terdahulu, sebelum sah menjadi juara kumpulan, juara 2010 itu memulakan perlawanan dengan berada di tangga teratas tetapi jatuh ke tangga kedua apabila Portugal dan Maghribi mendahului perlawanan ketika memasuki masa kecederaan.

Sepanyol ketinggalan apabila Andres Iniesta dan kapten, Sergio Ramos, entah bagaimana membenarkan Khalid Boutaib berjaya merebut bola dan menyudahkan gol pada minit ke-14 untuk meraih jaringan pertama Maghribi dalam pusingan akhir sejak 1998.

Lima minit kemudian, Iniesta membuat perubahan dengan mengelirukan pertahanan Maghribi untuk membuat bantuan jaringan yang disudahkan Isco.

Apabila pemain gantian Maghribi, Youssef En-Nesyri, membawa pasukannya kembali di depan menerusi tandukan hebat daripada sepakan sudut Faycal Fajr ketika perlawanan berbaki sembilan minit, skuad Herve Renard itu kelihatan bersedia untuk menuntut kemenangan yang tidak akan dapat dilupakan.

Tetapi selepas pemain gantian Sepanyol, Iago Aspas, menyudahkan jaringan menarik yang dipertahan dengan penilaian video bantuan pengadil (VAR) untuk melihat ofsaid, skuad La Roja itu akhirnya menjuarai Kumpulan B.

Sepanyol menunjukkan tanda-tanda kejayaan mereka tetapi skuad Fernando Hierro itu mesti membuktikan peningkatan serius di peringkat kalah mati jika mereka mempunyai cita-cita untuk menuntut Piala Dunia kedua.

Sepanyol menempah tempat dalam pusingan 16 untuk bertemu naib juara Kumpulan A, Russia, di Stadium Luzhniki, Ahad ini.
 

Advertisement

Must Watch Video