Skip to main content

Bola Sepak

Kurang masa beraksi buat Rashford kecewa

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

lack-of-manchester-united-game-time-frustrating-for-rashford.jpg

Marcus Rashford berkata dia kecewa kerana kurang memulakan perlawanan bersama Manchester United di bawah kendalian Jose Mourinho.

Pemain berusia 18 tahun itu hanya memulakan perlawanan sekali dalam saingan Liga Perdana musim ini, dengan kelibat Zlatan Ibrahimovic menjadi pilihan utama setibanya ke Old Trafford dari Paris Saint-Germain.

Rashford, bagaimanapun, berkata dia tidak marah mengenai situasinya, malah memahami dia perlu bersaing untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

"Ia agak mengecewakan tetapi saya tidak marah disebabkan tidak beraksi kerana saya memahami keadaan pasukan," kata Rashford.

"Kami mempunyai banyak pemain berkualiti dan ramai pemain seperti saya juga berpendapat mereka berhak beraksi.

"Tetapi kami telah bersaing dalam sesi latihan dan ia telah meningkatkan kualiti kami sebagai satu pasukan.

"Apa yang telah dilakukan oleh pengurus kepada pasukan dan pemain merupakan satu perkara yang bagus."

Rashford telah menjaringkan tiga gol dan menambah bilangan gol pada musim ini merupakan misi utamanya.

Pemain kebangsaan England itu berkata dia mahu menjadi penyerang yang berbisa serta mendapatkan keyakinan beraksi di bahagian sayap.

"Sebagai satu pasukan, kami mampu bersaing mendapatkan piala musim ini. Secara peribadi, saya mahu meledak lebih banyak gol.

"Terdapat beberapa perlawanan, anda seperti kehilangan sentuhan tetapi ia bukan halangan untuk menjaringkan gol dan membantu pasukan memenangi perlawanan.

"Saya mahu menjadi penyerang yang boleh beraksi di bahagian tengah, kiri dan kanan.

"Pengurus telah cuba meletakkan saya di bahagian sayap kiri dan kanan, jadi saya berpendapat beliau sedang cuba untuk membantu saya mempertingkatkan kebolehan di bahagian tersebut."

Advertisement

Must Watch Video