BOLA SEPAK
Kuda tua bawa kestabilan -- Sathianathan, Cheng Hoe
B. Sathianathan antara jurulatih yang gemar dengan kelibat kuda tua dalam pasukan.
Alasan pengendali Selangor itu mudah, tiada wang ringgit yang mampu membeli pengalaman dan ia ada pada kuda tua.
Jelas ia tidak senada dengan pendapat sesetengah pengkritik bola sepak yang melabelkan penggunaan kuda tua adalah berlandaskan pilihan sesetengah jurulatih semata-mata.
Iklan
"Mereka tidak berada di tempat saya, mereka suka kritik tetapi tidak tahu pasal bola, buat apa saya nak bertengkar dengan orang seperti itu.
"Kalau seorang jurulatih seperti saya yang hanya ada kontrak setahun (tetapi) menggunakan (khidmat) pemain-pemain muda. Walaupun bermain baik tetapi kami kalah, (akhirnya) siapakah yang akan disingkir? Pemain atau jurulatih?," katanya.
Malah, bekas jurulatih kebangsaan berkenaan, yang sudah bergelar jurulatih sejak 29 tahun lalu, juga berpendirian teguh betapa kelibat kuda tua mampu mengawal sesebuah permainan.
Mungkin berbeza corak permainan yang diterapkan, namun jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, nampaknya senada dengan apa yang diluahkan jurulatih yang pernah membimbing skuad negara dari 2007 hingga 2009 itu.
Ketika ini, penjaga gol merangkap ketua pasukan berumur 33 tahun, Farizal Marlias, di samping penyerang, Norshahrul Idlan Talaha, pertahanan, Aidil Zafuan Abd Radzak (32 tahun) dan pemain tengah, Brendan Gan (31 tahun) merupakan antara tonggak negara.
Menjelang pertemuan persahabatan dengan Sri Lanka di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini dan perlawanan ketiga Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Vietnam, Khamis depan, ternyata teori Sathianathan juga tidak lekang daripada aspek pemilihan Cheng Hoe yang menganggap pemain berpengalaman atau kuda tua mampu menjadi panduan terbaik buat pasukan.
"Purata umur (skuad ini) adalah 25 tahun jadi pemain yang berusia 30 tahun ke atas (merupakan) pemain senior yang boleh menjadi panduan kepada pasukan kerana kami tidak boleh melupakan pengalaman mereka di pentas antarabangsa.
"Sebab itulah saya perlukan beberapa pemain dan pada masa sama, saya mahu pemain muda belajar sesuatu daripada mereka," kata bekas jurulatih Kedah itu dalam sesi latihan pasukan di Bukit Jalil, hari ini.
Ia bukan pasukan yang sempurna untuk skuad negara andai sekadar menampilkan pemain muda yang memiliki kelajuan dalam permainan tetapi kurang dalam aspek pengalaman dalam mengendalikan tempo sesebuah perlawanan.
"Pasukan kebangsaan juga memerlukan keputusan (positif, maka) saya tidak berpeluang untuk memanggil pemain-pemain baru tetapi saya selalu beritahu, peluang sentiasa terbuka buat semua pemain tanpa mengira pemain muda mahupun senior.
"Yang penting adalah kesesuaian bersama pasukan kebangsaan, itu yang utama," tambahnya.
Bekas penyerang Harimau Malaya, Indra Putra Mahayuddin, yang masih ligat beraksi menyarung jersi Kuala Lumpur musim ini walaupun sudah berumur 38 tahun pula berpandangan: "Pemain berpengalaman penting buat setiap pasukan dan mereka sudah biasa beraksi dalam tekanan.
"Setiap perlawanan mereka akan berikan 100 peratus, setiap pasukan perlukan pemain yang dah berumur."
Must-Watch Video