LIGA SUPER MSIA
Kuala Lumpur City turun dengan misi tiga mata jumpa Terengganu FC
Kuala Lumpur City (KL City) mahu melupakan kekalahan memalukan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan bangkit meraih tiga mata dalam perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
Pengendali KL City, Bojan Hodak, berkata pemain The City Boys sudah menyedari kesilapan yang dilakukan ketika menentang JDT dan yakin pemainnya akan memperagakan aksi lebih baik berdepan pasukan pantai timur itu.
"Selepas perlawanan yang teruk menentang JDT, sudah tentu pemain mahu untuk memberikan sesuatu dan bangkit dalam perlawanan menentang Terengganu.
Iklan
"Beberapa pemain yang sebelum ini tidak dapat diturunkan ketika menentang JDT akan kembali dalam pasukan. Kami akan mempunyai lebih kemampuan untuk cuba menundukkan Terengganu," katanya.
KL City yang bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Isnin lalu terpaksa akur dengan kekuatan juara sembilan kali Liga Super itu apabila dibelasah 1-6.
Kekalahan besar itu sudah tentu tidak menggembirakan Hodak dan menyifatkan pemainnya tidak beraksi dengan baik selain dibayangi dengan masalah kecederaan yang melanda tonggak utama.
Dalam pada itu, Hodak sedar cabaran sukar juga bakal diharungi pasukannya apatah lagi TFC bukan pasukan yang mudah untuk ditewaskan.
"Sudah tentu sasaran kita untuk dapat tiga mata. Tetapi, sudah tentu sukar kerana kami pernah bertemu mereka tiga kali termasuk dalam perlawanan pra-musim dan kesemuanya keputusan seri.
"Ïni menunjukkan ketiga-tiga perlawanan itu sukar dan boleh menjangkakan perkara sama.
"Namun, kami bermain di laman sendiri dan saya yakin keputusan itu boleh berubah," katanya.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video