Skip to main content

Bola Sepak

Kuala Lumpur bangga kecewakan Kedah

fabio11318.jpg
Kuala Lumpur berjaya keluar daripada kelompok bawahan Liga Super apabila menewaskan Kedah 4-2 di Cheras, semalam.

"Kami tahu kami menentang antara pasukan terbaik di Malaysia. Pasukan lawan sudah empat tahun bersama.

"Kami tahu tentang kualiti mereka," kata jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Joaquim Maciel da Silva, dalam sidang media selepas perlawanan.

Kedua-dua pasukan turun dengan misi memperbaiki kedudukan liga, namun skuad Warga Kota terlebih dahulu di hadapan apabila Zaquan Adha Abdul Radzak mencuri bola daripada Khairul Helmi Johari sebelum menewaskan penjagan gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim, pada minit ketiga.

Tersentak dengan itu, Lang Merah mula mengatur gerakan lebih tersusun ke kawasan Kuala Lumpur. Hasilnya, Pablo Pallares berjaya menyudahkan hantaran silang Liridon Krasniqi pada minit ke-10 untuk mengikat kedudukan. 

Lima minit memasuki babak kedua, Kedah berjaya mendahului apabila Krasniqi menyudahkan umpanan Rizal Ghazali. 

Tuan rumah kembali bangkit apabila Zaquan dijatuhkan Khairul Helmi (m-60) di dalam kawasan penalti. Guilherme De Paula tenang menyempurnakan penalti untuk menjadikan kedudukan 2-2. 

Jaringan itu menyuntik keyakinan Kuala Lumpur untuk meningkatkan arus serangan dan hasilnya, Paulo Josue, meledak jaringan ketiga pada minit ke-82. 

Kedah kemudian seakan-akan memastikan satu mata apabila Pallares sekali lagi mencetak nama selaku penjaring pada masa kecederaan. 

Begitupun, pemain gantian, Ashri Chuchu, mengesahkan tiga mata di laman sendiri dengan jaringan keempat pada minit kelima masa kecederaan. 

"Selalunya kalau sudah menjaringkan tiga gol, kamu akan menang. Tetapi kami mempunyai empat kesilapan.

"Kami tahu mereka akan bermain bola jauh. Pada lima minit pertama, kami sudah melakukan kesilapan.

"Bagaimanapun, kesilapan boleh berlaku. Kita manusia," kata jurulatih Kedah, Ramon Marcote Pequeno.

Advertisement

Must Watch Video