Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Kraljevic yakin TRW teruskan rentak kemenangan

img-20190228-wa0051.jpg
Ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Marko Kraljevic, yakin pemainnya mampu meneruskan momentum kemenangan apabila turun melayan pendahulu Liga Perdana, Johor Darul Ta'zim (JDT) II, di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam ini.

Kraljevic menambah biarpun skuad Harimau Selatan itu masih belum tewas selepas tiga perlawanan, pengendali kelahiran Crotia itu yakin pemain yang bakal diturunkan mampu mencipta kejutan.

"Selepas menang 1-0 ke atas UKM FC di Cheras, semangat pemain semakin meningkat dan saya yakin Kelantan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan ini.

"Semua pemain utama cergas sepenuhnya dan bertekad untuk memburu kemenangan kedua berturut-turut.

"Kepulangan lima pemain muda dari skuad bawah 22 tahun (B-22) negara menambahkan kekuatan yang ada dan saya yakin satu perlawanan menarik untuk disaksikan," katanya.

Kraljevic yang juga bekas pengendali Balestier Khalsa FC dalam Liga Singapura, mahu barisan pertahanannya kekal fokus dan tidak memberikan sebarang ruang kepada penyerang lawan mencipta jaringan.

"Jika gawang tidak bolos dan kami mampu menyerap tekanan, sudah pasti penyerang TRW lebih bermotivasi mencari gol kemenangan," katanya.

Sementara itu, Kraljevic memberi perkhabaran gembira buat penyokong setia TRW apabila mengesahkan dia akan berada di bangku simpanan pasukannya, malam ini.

"Saya sudah mendapat kad akreditasi baru-baru ini, jadi untuk perlawanan malam ini, saya boleh duduk bersama pemain dan memberi arahan di tepi padang," katanya.

Untuk rekod, Kelantan berada di tangga ketujuh dengan empat mata daripada tiga perlawanan manakala skuad kendalian Ervin Boban itu unggul sebagai pendahulu Liga Perdana dengan sembilan mata.
 

Advertisement

Must Watch Video