Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Kraljevic: Sekat kelincahan Mendy, Korac

kraljevic-kelantan.jpg
Ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Marko Kraljevic, mahu benteng pertahanan pasukannya mengawasi kelincahan penjaring terbanyak Liga Perdana, Robert Mendy, dalam perlawanan menentang UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam, malam ini.

Kraljevic menambah penyerang import kelahiran Senegal itu, yang berjaya membentuk gandingan mantap dengan Zarko Korac, sudah menjaringkan empat gol dan pasti menjadi igauan kepada barisan pertahanannya jika dibiarkan bebas tanpa kawalan ketat.

"Kami sudah mengkaji permainan UiTM FC dalam dua aksi terakhir mereka. Kehebatan Mendy dan Korac memang terbukti apabila gandingan itu cukup menjadi dan mampu menggugat benteng lawan.

"Mereka juga terkenal dengan corak hantaran tinggi dengan keupayaan fizikal yang mampu memberikan tekanan kepada pertahanan kami.

"Namun, itu adalah taktikal lawan yang kami sering bincangkan. Apa yang paling penting adalah kami perlu turun dengan semangat yang tinggi, menyerang dengan corak permainan tersendiri dan mengejutkan mereka," katanya.

Kraljevic, yang juga bekas pengendali Balestier Khalsa FC dalam Liga Singapura, berkata ketiadaan kapten, Cassio De Jesus, tidak melemahkan benteng pertahanannya, sebaliknya yakin pemain gantian yang akan diturunkan mampu menggalas tugas berat itu.

"Ya, kami kehilangan Jesus untuk perlawanan ini. Namun, ia normal dalam bola sepak dan kami perlu menghadapinya. Saya berharap pemain yang akan diturunkan mampu menjalankan tugas dengan baik untuk mengekang penyerang lawan," katanya. 

Kraljevic juga menegaskan, semangat anak buahnya tetap tinggi biarpun tewas 0-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) II di Pasir Gudang, minggu lepas.

"Kami sudah melupakan kekecewaan di Pasir Gudang dan Kelantan akan turun ke Shah Alam dengan semangat tinggi untuk memburu kemenangan kedua," katanya.

Untuk rekod, Kelantan berada di tangga kelapan Liga Perdana dengan empat mata daripada empat perlawanan manakala UiTM FC kendalian Ismail Zakaria di tangga keempat dengan sembilan mata.

Advertisement

Must Watch Video