Skip to main content

Bola Sepak

Korea tekad gempur Mexico

mexico.jpg
Jung Woo-young berkata Korea Selatan sudah sedia untuk mengatur serangan bertali arus terhadap Mexico selepas skuad El Tri itu mengejutkan juara bertahan, Jerman, dalam aksi pembukaan kempen Piala Dunia Russia, 17 Jun lalu. 

Korea Selatan terdesak untuk meraih keputusan positif ekoran tumpas 0-1 kepada Sweden dalam aksi sulung Kumpulan F di Rostov-on-Don, Sabtu lalu.

Woo-young, pemain tengah Korea yang beraksi untuk kelab Liga Jepun, Vissel Kobe, menambah El Tri tidak mungkin menggunakan pendekatan yang sama di Rostov Arena malam esok yang menyaksikan skuad bimbingan Juan Carlos Osorio itu diangkat selaku pasukan kegemaran.

"Mexico memiliki pemain yang pantas dalam situasi satu lawan satu dan cenderung menembusi (pertahanan lawan)," katanya.

"Berbanding pendekatan menghadapi Jerman, saya percaya Mexico akan mengamalkan corak berbeza. Sudah tentu, kami juga tidak akan bermain seperti Jerman.

"Di atas kertas, anda boleh membandingkan kedua-dua pasukan. Bagaimanapun, kami sedar keperluan menghasilkan keputusan yang mampu memenuhi jangkaan penyokong.

"Kami tidak menganggap kami kurang berbakat atau bukan pasukan yang lebih baik daripada Mexico. Kami hanya memikirkan kaedah untuk mengekang Mexico daripada mengamalkan gaya permainan mereka."

Jurulatih Mexico, Osorio, mengesahkan penilaian Woo-young itu sambil menyeru anak buahnya supaya mempamerkan kualiti mereka di peringkat besar dalam usaha mengesahkan laluan ke pusingan 16.

"Sudah tiba masanya untuk Mexico membuktikan bahawa kami boleh mengambil kesempatan ini," katanya.

"Terdapat perbezaan yang besar di antara perlawanan menentang Jerman atau pasukan handalan yang lain. Kami kononnya lebih ampuh berbanding pihak lawan. Kami perlu membuktikannya."

PEMAIN TUMPUAN

Mexico: Hirving Lozano


Penjaring gol tunggal dalam kemenangan mengejutkan 1-0 ke atas Jerman. bintang PSV, Lozano, diburu kelab gergasi Eropah dan jaringannya di Moscow pasti akan mengundang lebih banyak tawaran. 

Korea Selatan: Ki Sung-yueng

Osorio mengenal pasti pemain tengah Swansea City itu sebagai watak penting bagi Korea Selatan dan menggesa pemainnya untuk mendominasi bahagian tengah bagi mengurangkan pengaruh pemain berusia 29 tahun itu.
 

Advertisement

Must Watch Video