Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Komunikasi atas padang bantu Pahang atasi Kedah

asiana-63592.jpg
Persefahaman sebagai sebuah pasukan membolehkan Pahang melakar kemenangan 1-0 ke atas Kedah di hadapan penyokong sendiri dalam perlawanan Liga Super, semalam. 

Pengendali Pahang, Dollah Salleh, berkata pasukannya telah dilatih agar tidak terlalu bergantung kepada seorang dua pemain, sebaliknya mementingkan semangat kerjasama bagi membantu kemenangan pasukan. 

Katanya, perkara itu juga memberi lebih banyak kebebasan kepadanya untuk memasuk dan mengeluarkan pemain semasa perlawanan, termasuk menurunkan pemain tengah, Zuhair Aizat Nazri, yang direhatkan dalam lima perlawanan sebelum ini.

"Kemasukan Zuhair Aizat pada malam ini menjadi kerana dapat menghasilkan gol tunggal selepas menggelecek dua pemain lawan, yang sekali gus meningkatkan moral pasukan.

"Jaringan itu menghilangkan tekanan kami di luar padang kerana kami seperti sukar untuk mendapatkan gol walaupun banyak peluang dicipta dalam perlawanan ini," katanya. 

Dollah berkata demikian dalam sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Darul Makmur, menyaksikan Zuhair Aizat yang menggantikan Mohamadou Sumareh menjadi wira skuad Tok Gajah menerusi jaringan pada minit ke-81. 

Tamat perlawanan, Pahang memperoleh tiga mata penuh dalam aksi di laman sendiri yang membolehkan mereka melonjak ke tangga teratas Liga Super mengatasi Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan bermain hari ini.

Dollah menambah Pahang tidak bernasib baik apabila hanya mampu memperoleh satu gol walaupun pelbagai serangan dilakukan dan lebih 65 peratus menguasai perlawanan. 

"Kami menjadi agak kelam-kabut apabila tiada satu pun gol dapat dihasilkan walaupun kerap menyerang kubu lawan. Kami juga tidak menyalahkan Norshahrul Idlan Talaha kerana gagal menjaringkan gol penalti dan dia  mempamerkan aksi yang baik selepas itu," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, menyifatkan nasib tidak menyebelahi pasukan Helang Merah itu yang mengalami kekalahan pertama dalam aksi Liga Super musim ini kerana barisan pemainnya sudah menampilkan persembahan terbaik. 

"Kesemua pemain, termasuk bahagian pertahanan, sudah memberikan komitmen 100 peratus di atas padang.

"Kami memperoleh banyak peluang, cuma Pahang lebih bernasib baik. Apabila beraksi di tempat lawan, pasti tekanannya lebih tinggi dan secara keseluruhan pemain kami turun dengan mental yang kuat,” katanya.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video