Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Klopp gembira Liverpool kembali digeruni

jurgenklopp.jpg
Jurgen Klopp percaya pasukannya, Liverpool, telah membuktikan mereka kini sudah kembali digeruni di peringkat Eropah selepas menewaskan Bayern Munich 3-1 di Arena Allianz untuk ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Sadio Mane memecah kebuntuan menerusi gerakan solo menarik selepas perlawanan pertama di Merseyside berakhir tanpa jaringan.

Jaringan sendiri Joel Matip menyamakan kedudukan buat Bayern sebelum tamat babak pertama, namun Liverpool kekal sebagai pasukan yang lebih baik dalam babak berikutnya dengan Virgil Van Dijk kembali meletakkan juara Eropah lima kali itu di depan sebelum Mane memutlakkan keputusan perlawanan.

Klopp membawa Liverpool ke final edisi lalu di mana The Reds tewas tipis kepada Real Madrid.

Dia berasakan pasukannya kini sudah kembali sebagai salah satu pasukan terbaik di Eropah.

"Menjaringkan tiga gol di sini amat sukar walaupun kami sebenarnya menghasilkan empat gol kerana kami menjaringkan gol bagi pihak mereka juga," kata Klopp dalam sidang media selepas perlawanan.

"Ia merupakan langkah yang amat-amat besar buat kami.

"Kita akan lihat sama ada kami akan berjaya musim ini, namun ia petanda yang amat-amat baik dan saya menggemarinya.

"Kami membuktikan yang kelab hebat ini sudah kembali dalam landskap bola sepak antarabangsa sebagai pasukan terbaik.

"Kami perlu meletakkan kelab ini di tempat yang sepatutnya dan pada malam ini, kami telah membuktikan bahawa perkara itu semakin hampir.

"Saya amat gembira dengan keputusan perlawanan. Saya tahu kami akan memperoleh peluang dan pemain saya menjadikannya satu kenyataan," katanya.

Van Dijk, yang tidak terlibat dalam perlawanan pertama ekoran penggantungan perlawanan, membuktikan pengaruhnya dalam aksi di Arena Allianz.

"Apa yang saya boleh katakan, saya mampu untuk menulis sebuah buku tentang kemahiran, kekuatan dan kehebatan yang dimikinya," tambah Klopp.

"Dia amat muda, amat kuat dan sudah memaparkan kematangan.

"Virg sedar dia mampu beraksi lebih baik, terutama dalam babak kedua.

"Kami bermain dengan aksi yang sudah cukup untuk memenangi perlawanan ini.

"Anda perlu kekal di dalam perlawanan, beraksi dengan seimbang dan menjawab segala persoalan yang timbul, mengubah beberapa perkara dan menggunakan pendekatan berbeza.

"Kami melakukan hantaran yang lebih baik dalam babak kedua dan saya gembira untuk menyaksikan kami berkembang dalam perlawanan.

"Ia merupakan tempat yang sukar untuk kami bertandang. Tidak banyak pasukan mampu meraih kemenangan di Munich," katanya.

Klopp menggamit pelbagai kenangan di Allianz Arena sewaktu mengendalikan Borussia Dortmund dengan pasukannya ketika itu kerap dihampakan.

Bagaimanapun, dia menganggap kemenangan Liverpool itu bukanlah untuk membalas dendam.

"Saya bukan seperti itu. Ia tidak menjadi lebih manis kerana kami menewaskan Bayern.

"Ia tiada kena-mengena dengan keputusan sebelum ini di mana pasukan saya tewas.

"Saya mahu memenanginya untuk Liverpool, bukan untuk menewaskan Bayern.

"Ia merupakan waktu yang terbaik buat Liverpool, jadi marilah meraikannya," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video