Skip to main content

Bola Sepak

KLFA persoal tindakan PJS

nokman-mustaffa.jpg
Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menuntut penjelasan daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS) berhubung keputusan berkaitan dengan kemelut dalaman Kongres Ke-31 KLFA setelah merumuskan proses pencalonan kepimpinan badan induk itu tidak telus.

KLFA menerima tamparan hebat apabila diarahkan PJS supaya mengadakan semula proses pencalonan semua jawatan yang dipertandingkan bagi kongres ke-31.

Menerusi surat bertarikh 22 Februari 2019, persatuan itu juga dituntut melaksanakan kongres yang tertangguh sejak November tahun lalu itu sebelum atau pada 31 Mei 2019.

Ini susulan PJS mendapati proses pencalonan ahli jawatankuasa dan presiden KLFA tidak dijalankan dengan telus berdasarkan segala hujah berserta fakta dalam membuat keputusan berkenaan. 

Keputusan itu nyata mengundang rasa tidak puas hati kepimpinan tertinggi KLFA.

"Kami sudah berikan jawapan dan apa yang diminta PJS tetapi pada akhirnya ia mengatakan kami tidak telus.

"Saya berasakan ia sesuatu yang tidak adil kepada persatuan ini kerana seakan-akan mereka mempertikaikan kami dan menidakkan statut KLFA yang ada. 

"Sedangkan statut itu diluluskan oleh PJS sendiri, kami telah patuhi statut yang ada," jelas Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa.

Terdahulu, Nokman bersama Presiden, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan, mengadakan perjumpaan bersama Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini. 

Dia menjelaskan badan induk itu mengambil pendekatan berkecuali berhubung perkara itu dan KLFA kini mengharapkan PJS dapat memberikan penjelasan tepat sebelum mereka mengambil tindakan seterusnya.

"Kami mungkin akan mengadakan mesyuarat dengan Ahli Exco KLFA, kami tidak akan mengadakan pemilihan exco dan hanya mengadakan mesyuarat agung bagi penggal 2017-2018.

"Kami akan buat keputusan berlandaskan statut," tambahnya. 

Advertisement

Must Watch Video