BOLA SEPAK MSIA
'Kita perlu terima hakikat pemain warisan Harimau Malaya...'
Bekas penyerang kebangsaan, Azlan Johar, berkongsikan pandangannya bahawa dengan kehadiran pemain warisan Harimau Malaya jelas membantu pasukan negara meraih keputusan positif.
Perkara itu dibuktikan dengan kemenangan skuad negara menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 baru-baru ini di Stadium Nasional Bukit Jalil sekali gus menamatkan kemarau 11 tahun negara.
"Kita nak letak nama Malaysia dalam perhatian dunia, dan inilah jalannya dengan kehadiran ramai pemain warisan. Kita kena terima hakikat bahawa pemain warisan mampu membantu pasukan meraih keputusan positif dan kejayaan.
Iklan
"Apabila banyak keputusan positif, kita akan mencapai hasil yang cemerlang dalam pertandingan yang disertai. Malah, ranking FIFA kita juga semakin baik. Khususnya apabila berada di bawah kedudukan 70 atau 80 satu hari nanti, peluang pemain tempatan untuk beraksi di Eropah akan jadi lebih cerah.
Malah, dia turut berasakan tidak mustahil sekiranya pemain sayap berbisa negara, Arif Aiman Hanapi, mendapat perhatian kelab dari Eropah sekiranya ranking Malaysia terus melonjak naik pada masa akan datang.
"Kebanyakan liga di Eropah menetapkan syarat tertentu berdasarkan kedudukan ranking negara dalam FIFA sebagai penentu kelayakan pemain asing.
"Oleh itu, apabila Malaysia berjaya melonjakkan kedudukan ranking menerusi prestasi cemerlang pemain warisan dan tempatan, maka peluang seperti pemain bintang kita, Arif Aiman Hanapi, ke Eropah bermain dengan kelab terbaik tidak mustahil." katanya kepada Sinar Harian.
Must-Watch Video