Skip to main content

Bola Sepak

Kipson, Faiz lega bantu UKM ke pusingan ketiga

kipson5318.jpg
Dua watak penting di sebalik kejayaan UKM FC melangkah ke pusingan ketiga Piala FA, Atuheire Kipson dan Faiz Hanif Adenan, mempunyai sebab tersendiri mengapa mereka begitu gembira selepas aksi berdepan MISC-MIFA di Stadium MBPJ, semalam.

Hadir dengan reputasi besar selaku penjaring terbanyak Liga Kemboja musim lalu, Kipson sebenarnya sudah tidak diturunkan dalam tiga perlawanan ekoran gagal berada pada prestasi diharapkan.

Malah, dia hampir digugurkan ketika pintu perpindahan pemain masih dibuka sehingga 11 Februari lalu sebelum jurulatih, Sulaiman Hussein, memberi peluang kedua buatnya.

Nyata, dia membalas kepercayaan diberikan dengan gol yang cukup penting buat pasukan pada minit 94 untuk mengheret permainan ke masa tambahan selepas dimasukkan selaku pemain gantian pada minit ke-77.

"Ia mengambil masa yang lama (untuk menjaringkan gol). Tetapi saya hanya mengikut arahan jurulatih dan berlatih dengan lebih gigih.

"Akhirnya ia hadir. Saya harap ia menjadi gol permulaan untuk menjaringkan lebih banyak lagi," kata Kipson.

Sementara itu, Faiz yang ditugaskan menjadi pengambil sepakan terakhir mengakui cukup bimbang gagal menyempurnakan tugasan diberikan kerana sering kali ada memori pahit dalam situasi berkenaan.

"Walaupun kurang pengalaman, dengan berkat kesabaran bertahan dalam separuh masa pertama dan awal separuh masa kedua, Alhamdulillah, kami dapat melakukan penyudah yang baik pada hujung perlawanan dan kemudiannya memperoleh kemenangan," kata Faiz.

Dalam perlawanan itu, UKM menyingkirkan MISC-MIFA melalui penentuan sepakan penalti yang berkesudahan 4-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga 120 minit waktu permainan.

Advertisement

Must Watch Video