BOLA SEPAK
Keputusan pengadil gagalkan United -- Mourinho
CHELSEA 1 MANCHESTER UNITED 0
Jose Mourinho menyifatkan cabaran Piala FA Manchester United berakhir dengan keputusan pengadil perlawanan, Michael Oliver, apabila melayangkan kad merah kepada Ander Herrera dalam kekalahan 1-0 kepada Chelsea.
Beraksi dengan 10 pemain, United gagal mengekang kemaraan Chelsea selepas rembatan N'Golo Kante dari luar kotak penalti menewaskan penjaga, gol David De Gea, dalam separuh masa kedua.
United gagal memenangi empat perlawanan yang diadili oleh Oliver musim ini. Pengadil perlawanan itu telah menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan United (Everton dan Liverpool) yang berkesudahan dengan keputusan seri dan ketika tewas kepada Watford.
Iklan
Mourinho mendakwa bahawa Oliver tidak memberikan hukuman yang konsisten terhadap kesalahan yang sama seperti dilakukan oleh Herrera sepanjang perlawanan.
"Saya hanya mahu memberitahu bahawa saya berbangga dengan pemain-pemain saya dan penyokong kami yang hadir," katanya.
"Kami memiliki perlawanan yang penting berdepan Rostov dalam saingan Liga Europa (UEL) dan saya mahu merehatkan beberapa pemain untuk kami membuat persiapan kerana ia adalah perlawanan yang penting.
"Musim ini, Michael Oliver adalah seorang pengadil yang sangat bagus, hanya kami yang tidak bernasib baik.
"Dalam empat perlawanan, tiga penalti dan satu kad merah pada awal permainan.
"Saya tidak dapat mengubah keputusan perlawanan ini tetapi saya akan cuba yang terbaik dalam perlawanan akan datang."
Must-Watch Video