Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Kepa adalah lelaki sebenar -- Sarri

kepa-arrizabalaga-cropped_1q8f3ya0skfse1xcm06s4umfx6.jpg
Tindakan matang Kepa Arrizabalaga mengakui kesilapan ketika final Piala Liga sebelum ini membuatkan pengendali Chelsea, Maurizio Sarri, meletakkannya semula dalam kesebelasan utama ketika menundukkan Fulham 2-1, semalam.

Penjaga gol berusia 24 tahun itu menolak untuk dikeluarkan sebelum aksi penentuan sepakan penalti ketika tewas di tangan Manchester City di Wembley minggu lalu dan diletakkan di bangku simpanan sewaktu The Sky Blues mengatasi Tottenham Hotspur.

Willy Caballero memastikan gawang tidak dibolosi dalam aksi tersebut tetapi Kepa kembali dalam kesebelasan utama di Craven Cottage dan melakukan dua aksi tangkas dalam setiap babak.

Sarri menjelaskan tindakan pemain Sepanyol itu membuatkan dia melihat keputusan meletakkan Kepa kembali dalam kesebelasan utama sebagai sesuatu yang normal.

"Kepa melakukan kesilapan besar. Dia menanggung akibatnya bersama kelab. Kini, situasi itu telah tamat," ujar Sarri.

"Hanya ada satu cara, letakkannya kembali dalam skuad untuk sepanjang musim.

"Namun, Kepa adalah lelaki sebenar. Dia faham dan memberi reaksi dengan baik. Saya bercakap dengannya pertengahan minggu lalu dan dia faham. Tingkah lakunya minggu lalu cukup bagus.

"Saya mengenalinya cukup baik. Dia pintar dengan mentaliti yang bagus. Dia melakukan kesilapan dan ia salah faham. Cukup mengenai perkara itu."

Sarri menegaskan kekuatan perwatakan Kepa membuatkan penjaga gol termahal dunia itu tidak akan mengharungi baki musim ini di bangku simpanan.

"Melihat kepada dia, jawapannya tidak kerana saya sangat mengenali Kepa," tambah Sarri.

"Saya pasti ia hanya salah faham di permulaan dan satu kesilapan besar di pengakhiran. Namun, dengan pemain lain, sudah tentu saya akan dapat mengubah situasi itu.

"Mengenai Kepa, saya sangat mengenalinya dan tahu ia bukan satu tindakan tepat.

"Tetapi kini saya sedar bahawa Caballero merupakan seorang penjaga gol yang bagus dan penting untuk pasukan serta bilik persalinan. Jadi, saya harus mencari ruang untuk dia."

Chelsea menewaskan Fulham hasil jaringan daripada Gonzalo Higuain dan Jorginho tetapi kekal di tangga keenam Liga Perdana Inggeris, dua mata dibezakan dengan pasukan tangga keempat, Manchester United.

Advertisement

Must Watch Video