Skip to main content

Bola Sepak

Kemenangan lewat titik tolak kebangkitan Manchester United -- Erik ten Hag

ten-hag.jpg
Erik ten Hag berkata kebangkitan menakjubkan Manchester United pada masa kecederaan ketika mengatasi Brentford tengah malam tadi harus menjadi titik tolak bagi memacu musim mereka.

Selepas musim pertama yang memberangsangkan di bawah kendalian pengurus Belanda itu, prestasi anak buahnya makin suram menjelang rehat antarabangsa.

Mathias Jensen meletakkan Brentford di landasan kemenangan di Old Trafford untuk United memasuki masa kecederaan separuh masa kedua sambil berdepan kekalahan kelima dalam lapan perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Begitupun, kemasukan Scott McTominay serta-merta mengubah nasib mereka. 

Diperkenalkan pada minit ke-87, pemain tengah itu menyamakan kedudukan United pada minit ke-93 dan empat minit kemudian menanduk masuk gol kemenangan 2-1 tuan rumah. 

“Ini mesti menjadi titik tolah tetapi ia juga perlu diulangi kerana kami perlu mencapai tahap yang lebih tinggi,” kata bos United, Ten Hag.




“Tetapi semangatnya bagus, kepercayaannya bagus, pasukan bersatu.

“Kami telah membuktikannya, kami telah menunjukkan karakter yang kuat dan ia boleh menjadi titik tolak kepada musim ini tetapi ia juga terpulang kepada kami.

“Perlawanan ini menyemarakkan semula semangat di dalam bilik persalinan. Mereka tahu sejauh mana mereka perlu berjuang untuk mendapatkan hasil.

“Ia bukan mudah dan dalam bola sepak, sama ada anda makan atau anda akan dimakan.

“Terlalu kerap kami dihukum lawan yang bersemangat dalam separuh pertama musim ini dan ini tidak boleh berlaku. Ia perlu dikikis. 

“Setiap pemain, setiap saat dia berada di atas padang, dia perlu berusaha. Itulah tuntutan dan standard kami. 

“Apabila melakukannya, dapat dilihat kesungguhan pasukan musim lalu.

“Kami tidak selalu memasang tekad terhadap peluang dalam setiap perlawanan dan kami akan dibelasah kerananya dan ia perlu diubah.”

Advertisement

Must Watch Video