Skip to main content

Bola Sepak

Kemenangan bukan keutamaan Martinez

robertomartinez.jpg
Ketua jurulatih Belgium, Roberto Martinez, tidak percaya menewaskan England dalam aksi terakhir Kumpulan G, awal pagi esok, adalah keutamaan buat pasukannya.

Red Devils dan Three Lions hadir ke Kaliningrad dengan mengumpulkan enam mata dan telah layak ke pusingan 16.

Kemenangan akan menentukan juara kumpulan di antara England dan Belgium bagi mendapatkan aksi yang lebih memihak kepada pasukan masing-masing dalam pusingan kalah mati.

Ia mungkin menjadi satu pertembungan yang menakjubkan tetapi kedua-dua pengendali pasukan dijangka melakukan perubahan dan mengelak pemain-pemain daripada digantung perlawanan.

Pengurus England, Gareth Southgate, sekali lagi menyatakan hasratnya untuk memenangi perlawanan ini dan meneruskan rentak cemerlang manakala Martinez berkata tiga mata bukan keutamaannya.

"Buat masa ini, kami telah layak dan berasakan ia adalah keutamaan pasukan," kata Martinez.

"Kini kami melihat kepada pemain-pemain dengan lebih terperinci. Kami mahu mereka bermain dengan baik tetapi kemenangan adalah bukan keutamaan.

"Terdapat pemain-pemain yang telah dilayangkan kad kuning, saya tidak mahu mendatangkan risiko buat pemain-pemain untuk terlepas aksi seterusnya.

"Kami mahu menjaga mereka untuk menampilkan aksi yang berkualiti dalam perlawanan-perlawanan pusingan kalah mati nanti.

"Saya percaya bahawa setiap pemain dalam skuad ini tidak akan melakukan perkara bodoh dalam perlawanan berdepan England.

"Jika kami menang, ia adalah sesuatu yang baik. Tetapi saya berasakan kami memandang lebih jauh daripada kemenangan ini," ujarnya.

Kali terakhir England dan Belgium bertemu dalam Piala Dunia menyaksikan David Platt menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan untuk menghantar skuad kendalian Bobby Robson itu mara ke suku akhir di Itali 1990.

Advertisement

Must Watch Video