UCL
Kelibat Iniesta samar berdepan Chelsea
Pemain tengah, Andres Iniesta, menimbulkan keraguan mengenai tahap kecergasannya menjelang aksi timbal-balik pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang Chelsea pada awal pagi Khamis ini.
Perkara itu disahkan oleh pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, selepas ketua pasukannya itu digantikan dalam babak pertama ketika aksi menentang Atletico Madrid, Ahad lalu, akibat kecederaan paha sebelum menyaksikan pasukannya menang 1-0.
Dia dijangka terlepas perlawanan bertemu Malaga hari ini dan Valverde tidak pasti sama ada tonggak tengahnya itu mampu cergas bagi menyambung aksi yang berkesudahan seri 1-1 dalam perlawanan pertama sebelum ini.
Iklan
“Dia menjalani latihan secara berasingan ketika ini. Sudah tentu kami tidak mahu tergesa-gesa tetapi masih awal untuk saya mengesahkan sebarang perkara.
“Walaupun Iniesta pemain yang unik, kami juga memiliki beberapa pemain yang hampir sama seperti Philippe Coutinho, Denis Suarez dan Andre Gomes. Mereka mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan,” kata Valverde.
Ousmane Dembele juga dilihat mampu menampung ketiadaan Iniesta walaupun bergelut dengan masalah kecederaan sejak menyertai Barca pada musim panas lalu.
Pemain sayap Perancis itu beraksi selama 63 minit dalam perlawanan Piala Super Catalonia bertemu Espanyol, Khamis lalu, dan Valverde jelas tenang dengan perkembangannya.
“Setiap perlawanan memberikan kebaikan buat semua pemain. Sudah tentu Dembele perlu beraksi tetapi kita akan lihat kerana harapan terhadapnya sangat tinggi.
“Dembele baru berusia 20 tahun dan dia suka menggelecek melepasi lawan, jadi masih ada ruang untuknya terus meningkat,” ujarnya lagi.
Must-Watch Video