Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Dunia: Pemain England kini rasa dihargai, kata Sterling

sterling.jpg
Raheem Sterling memuji langkah hebat yang dilakukan oleh Gareth Southgate dalam membantu mengubah persepsi terhadap pasukan England, baik di media mahupun penyokong.

Selepas menggalas tugas secara sementara, Southgate dilantik secara tetap pada November 2016. Sejak itu, dia mengetuai England ke separuh akhir Piala Dunia dan final Euro 2020 yang menyaksikan Three Lions tewas menerusi penalti kepada Itali.

Sterling menjadi anggota utama skuad kebangsaan ketika ini setelah membuat kemunculan pertama di peringkat antarabangsa di bawah kendalian Rory Hodgson pada 2012.

"Saya rasa ketika pertama kali tiba ke kem negara, sambutan media amat berbeza," katanya -- yang telah membuat 70 penampilan antarabangsa dan menjaringkan 18 gol -- dalam wawancara bersama Sky Sports.

"Ketika Gareth masuk, dia menjelaskan matlamatnya, dia mahu England memberi cabaran hebat dalam Euro dan Piala Dunia.

"Sekiranya kami mahu melakukannya, kami harus mengubah persepsi di media, masyarakat termasuk pemain sendiri -- kami harus bersatu jika kami ingin mencapai sesuatu dengan pasukan kebangsaan.

"Sejak dia dilantik, dia berusaha keras untuk membina hubungan dengan media dan peminat, saya rasa dia telah melakukan satu tugas yang hebat."


 

Penyerang Manchester City itu meledak tiga gol dalam Euro 2020 dalam laluan ke final di tempat sendiri. 

England, bagaimanapun, tidak mempamerkan tanda bergelut sejak kekalahan menyakitkan kepada Itali di Stadium Wembley itu apabila menguasai tempat teratas kelayakan Piala Dunia meskipun jaringan penyamaan lewat Poland mengakhiri rekod 100 peratus mereka bulan lalu.

Menjelang perlawanan menentang Andorra dan Hungary pada Ahad ini dan Rabu depan, Sterling menjelaskan betapa barisan pemain menghargai sokongan yang diterima ketika mewakili negara.

"Saya rasa peminat akan terus memberi sorakan kepada pemain dan anda boleh melihatnya sebaik melangkah ke padang, kami berasa disayangi," tambahnya. 

"Pada musim panas lalu, kami tidak berasa tertekan. Orang mungkin mengatakan bahawa saya telah terlibat dalam setiap perlawanan di Wembley, tetapi sebenarnya ia merupakan satu tekanan besar kerana anda berada di laman sendiri dan orang ramai mengharapkan sesuatu daripada anda."
 

Advertisement

Must Watch Video