Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Dunia: LaLiga ikut jejak EPL

laliga.jpg
LaLiga akan menyokong keputusan kelab yang memilih tidak melepaskan pemain untuk mewakili pasukan kebangsaan masing-masing di Amerika Selatan bagi jadual antarabangsa bulan depan.

Liga Perdana Inggeris (EPL) mengumumkan tindakan itu lebih awal apabila kesemua 20 kelab bersetuju untuk menyekat pemain daripada menyertai kempen kelayakan Piala Dunia 2022 sekiranya negara mereka disenaraikan dalam zon merah yang ditetapkan United Kingdom (UK) di celah-celah kebimbangan terhadap pelaksanaan kuarantin sejurus kembali ke pangkuan kelab. 

Sebilangan besar negara di Amerika Selatan dan Amerika Tengah dalam senarai merah UK, sementara EPL juga menyuarakan kekecewaannya terhadap tindakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atas keputusan untuk memperluaskan jendela antarabangsa CONMEBOL (zon Amerika Selatan) dari sembilan ke 11 hari.

Justeru, LaLiga membidas badan pengelola bola sepak dunia itu dengan menegaskan pihaknya akan menyokong sepenuhnya tindakan kelab yang memilih untuk tidak melepaskan pemain antarabangsa Amerika Selatan atas alasan ini selain kekhuatiran terhadap COVID-19. 


LaLiga dalam satu kenyataan turut mendedahkan seramai 25 pemain daripada 13 kelab telah dipanggil untuk melaporkan diri kembali ke Amerika Selatan sambil Ecuador dan Venezuela masih belum mengumumkan senarai pemain mereka. 

"Persatuan Bolasepak Sepanyol memahami bahawa kalendar dunia tidak boleh dan tidak patut diubah dengan cara ini, lebih-lebih lagi dengan adanya penyelesaian alternatif," menurut LaLiga dalam satu kenyataan. 

"LaLiga, melalui Forum Liga-Liga Dunia telah menyatakan ketidakselesaannya dalam situasi ini dan dengan kegagalan untuk peka terhadap kelab-kelab terbabit dalam isu seperti kalendar perlawanan antarabangsa yang ditetapkan dan disepakati empat tahun sebelum ini, sedangkan liga sudah menyesuaikan diri dengan keadaan COVID-19 tetapi selalunya akan ada jalan kesepakatan antara semua pihak yang terlibat.

"LaLiga akan memanggil kelab-kelab yang terlibat untuk pertemuan dalam beberapa hari lagi."

Advertisement

Must Watch Video