Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Dunia: Bale bermotivasi tinggi untuk penampilan istimewa ke-100 bersama Wales

bale.jpg
Gareth Bale berazam untuk melakukan penampilannya yang ke-100 bersama Wales dengan mendorong pasukannya semakin dekat untuk layak buat julung kalinya ke Piala Dunia dalam tempoh 64 tahun.

Penyerang Real Madrid itu tidak beraksi sejak mengalami kecederaan hamstring ketika Wales seri tanpa jaringan dengan Estonia pada 8 September lalu hingga terlepas 13 perlawanan terakhir kelabnya.

Tiga penampilan pemain berusia 32 tahun itu untuk skuad Dragons musim ini menyamai penglibatannya bersama Madrid sejak kembali daripada dipinjamkan ke Tottenham.

Walaupun baru diketepikan, pengurus Madrid, Carlo Ancelotti, merestui Bale untuk menyertai pasukan bimbingan Robert Page itu sempena perlawanan dengan Belarus dan Belgium.

Bale mengisytiharkan dirinya bersedia untuk pertembungan dengan Belarus, awal pagi esok, sekali gus bakal menjadikannya pemain kedua selepas Chris Gunter (106) untuk mencapai aksi ke-100 buat Wales.

"Saya tidak berada dalam keadaan terbaik seperti sebelum ini tetapi seperti biasa saya bekerja keras untuk kembali ke tahap seperti dulu," katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan. 

"Saya cergas tetapi tidak untuk kecergasan perlawanan. Apa yang saya boleh lakukan ialah memberikan yang terbaik. Saya tidak pasti sama ada saya akan dapat bermain sepanjang perlawanan, tetapi saya di sini untuk memberikan 100 peratus.

"Mencapai kemunculan ke-100 merupakan satu pencapaian yang luar biasa. Ia bagus untuk saya dan keluarga saya, tetapi perkara yang paling penting ialah perlawanan dan bukannya kejohanan. 

"Mudah-mudahan saya boleh menikmatinya selepas perlawanan yang merupakan satu perlawanan yang wajib dimenangi. Buat masa ini adalah mudah untuk berundur tetapi segala tumpuan perlu diberikan kepada pertemuan ini."







Bale telah beraksi dalam dua Kejohanan Eropah di samping Wales apabila mara ke separuh akhir pada 2016 dan pusingan 16, pertengahan tahun ini, tetapi masih belum berkesempatan ke Piala Dunia.

The Dragons sudah pun menjamin tempat dalam play-off pada Mac depan tetapi mereka masih menyasarkan untuk menamatkan saingan ini di depan Republik Czech yang mengintai tempat kedua dalam Kumpulan E bagi memastikan kelebihan untuk bermain di tempat sendiri kelak.

Bagi pemenang 13 trofi di peringkat kelab itu termasuk empat gelaran Liga Juara-Juara, mencapai Piala Dunia pertama bersama Wales sejak 1958 merupakan salah satu impiannya. 

"Ketika ini kami perlu cuba untuk layak ke Piala Dunia. Ia adalah perlawanan penting untuk kami menangi," katanya.

"Kami semua perlu mencurahkan kudrat 100 peratus, tanpa sebarang kekesalan dan sentiasa berjuang hingga ke akhirnya. Kami berpeluang untuk melakukannya sekarang, kami perlu mencuba dan memanfaatkannya."


 

Advertisement

Must Watch Video