Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Asia: Sentuhan penyudah pisahkan nasib Malaysia-Bahrain

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

malaysia-2022.jpg
MALAYSIA 1 BAHRAIN 2 

Biarpun tewas, mutu permainan pasukan kebangsaan tidak mengecewakan lebih 68,000 penyokong di Stadium Nasional, Bukit Jalil , sebentar tadi. 

Misi untuk layak ke Piala Asia 2023 bukan lagi dalam kawalan Harimau Malaya apabila detik di penghujung permainan memberikan kemenangan 2-1 kepada Bahrain.


Dalam perlawanan Kumpulan E itu, lima pertukaran dilakukan pengendali negara, Kim Pan-gon, terutama di bahagian tengah yang menampilkan Akhyar Rasyid dan Mohamadou Sumareh dan pertahanan tengah apabila mempertaruhkan Khuzaimi Piee dan Junior Eldstal.

Dengan hujan lebat sebelum sepak mula, pendekatan taktikal hampir pasti menafikan gerakan individu, Harimau Malaya sebaliknya menguasai sepenuhnya permainan apabila mempunyai hampir setengah dozen peluang untuk merobek gawang lawan. 

Selepas Junior melepaskan dua peluang berharga selain percubaan melambung Nazmi Faiz Mansor, Akhyar turut memiliki peluang satu lawan satu tetapi sepakan kaki kirinya  ditepis penjaga gol pasukan di ranking ke-89 itu, Sayed Mohammed Jaffer.

Malaysia terus mencari gol awal yang menyaksikan anak buah Helio Sousa itu sentiasa dalam tekanan yang menyaksikan bahagian rumput di kotak penalti tuan rumah hampir tidak terjejas. 

Dan hasrat Harimau Malaya akhirnya tertunai pada minit ke-55 menerusi tolakan Sumareh yang menyambut hantaran lintang Khuzaimi. 




Belum puas penyokong Malaysia bersorak, Ali Karim menghukum kelalaian benteng negara untuk mengikat kedudukan 1-1, dua minit kemudian. 

Skuad negara melakukan pertukaran di bahagian serangan dan percaturan itu hampir membuahkan hasil dengan kemasukan Arif Aiman Hanapi, Guilherme De Paula dan Syafiq Ahmad. 

Ketika rancak mencari jalan untuk mendahului semula perlawanan, kem negara tersentak gara-gara kesilapan penjaga gol, Farizal Marlias. 

Usaha ketua pasukan itu ketika cuba menutup kegagalannya menangkap kemas lambungan lawan ke depan gawangnya berakhir dengan menerjah pihak lawan, dan sepakan penalti berkenaan disudahkan oleh Abdulla Yusuf Helal pada minit ke-81. 

Dalam perlawanan petang tadi, Turkmenistan mengalahkan Bangladesh 2-1. 

Bahrain menerajui Kumpulan E menjelang perhitungan terakhir dengan Turkmenistan yang juga memerlukan kemenangan untuk lolos selepas dipisahkan dengan perbezaan jaringan dengan pasukan di tangga kedua, Malaysia, Selasa depan. 



"Maaf dengan keputusan ini. 

"Kami akan segera atasi kepincangan, buat persiapan untuk perlawanan seterusnya (bertemu Bangladesh), kami akan berjuang ke akhirnya. 

"Kami perlu duduk bersama dan menilai apa yang berlaku. Saya fikir ini satu perlawanan yang bagus tetapi mungkin bukan untuk kejohanan ini. 

"Kami akan cuba perbaiki kelemahan, kami masih mempunyai peluang. 

"Kami akan cuba buat sesuatu buat penyokong. 

"Saya tidak tahu, saya belum melihat rakaman kejadian (sepakan penalti Bahrain)," kata Pan-gon. 

Menurut pemain tengah kebangsaan, Syamer Kutty Abba: "Keadaan padang tak berapa elok, kami perlu beraksi dengan cara lain, dua kesilapan mudah tidak memihak kami. 

"Kalau kami sempurnakan peluang yang ada, kami boleh menang."

 

Advertisement

Must Watch Video