Wira kemenangan negara ketika mengatasi Mongolia 1-0 hari ini, Nur Azfar Fikri Azhar, amat berterima kasih kepada sumbangan rakan sepasukannya terutama Luqman Hakim Shamsudin dalam kelayakan Piala Asia B-23.
Nur Azfar turut menemui sentuhan penyudah apabila menang dengan angka sama ketika membuka kempen menentang Laos di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Isnin lalu dan penyerang Terengganu itu menganggap sokongan rakan sepasukan amat bermakna dalam memastikan perkembangan positifnya dalam skuad.
"Rakan sepasukan banyak beri sokongan terutama Luqman.
"Selepas menyertai fasa pertama, saya tidak dipanggil untuk ke fasa kedua. Oleh kerana ada kecederaan dalam kalangan pemain, jurulatih pun suruh saya datang (sertai pasukan).
"Saya buktikan dengan perbaiki kesilapan lalu menerusi fasa kedua dan akhirnya nama saya lekat dalam senarai 23 pemain terbaik.
"Dalam masa sama, kesempatan berlatih bersama skuad utama Terengganu membantu prestasi saya," katanya di Nadi Arena.
'Kaka' menganggap kemenangan ini mampu melonjakkan momentum skuad B-22 negara apabila bertemu Thailand dalam perlawanan terakhir Kumpulan J, seterusnya secara automatik layak ke pusingan akhir di Uzbekistan tahun depan menerusi slot automatik.
"Sekarang peluang untuk layak lebih 50 peratus, tapi kami perlu beraksi baik demi mempertahankan maruah negara.
"Saya mahu menang, kekal menjaringkan gol dalam perlawanan seterusnya dalam usaha melayakkan diri," katanya lagi.
Kredit imej: Mongolian Football Federation
Shaiful Shamsudin
Thu Oct 28 2021