Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Kelayakan AFC B-23: Mujur kami sudah pasang 'perangkap', kata Hiddink

guus-hiddink.jpg
Malaysia layak beraksi dalam pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di Thailand tahun depan, kata jurulatih tersohor, Guus Hiddink.

Jurulatih skuad B-22 China itu teruja dengan kredibiliti pemain negara yang cemerlang memberi tentangan kepada China sehingga pada satu tahap, pasukannya itu berada dalam keadaan tertekan.

Mengikut format Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Malaysia terpinggir daripada pusingan akhir dengan penilaian kelebihan jaringan pihak lawan untuk mengisi slot naib juara terbaik dalam kalangan empat negara. 

Namun, daripada sudut kualiti, Malaysia layak untuk beraksi di Bangkok, Januari tahun depan menerusi penilaian jurulatih bertaraf dunia itu sebaik tamat kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 malam tadi.

"Kemahiran individu yang dimiliki pemain Malaysia tidak mengejutkan saya kerana kami telah mengkaji aksi mereka secara langsung selain rakaman perlawanan.

"Ketika menonton perlawanan skuad B-22 Malaysia menentang Australia, kami mendapati Malaysia mempunyai pemain yang berkemahiran individu yang tinggi. 

"Mereka boleh mengatasi pemain lawan, termasuk situasi satu lawan satu dan ia satu kelebihan," jelas jurulatih kelahiran Belanda itu. 

China ketinggalan dua kali di Stadium Shah Alam, malam tadi. 

Bagaimanapun, pesanan Hiddink yang tidak mahu anak buahnya panik dengan sebarang situasi menjadi penyelamat kepada maruah mereka ketika hampir ditewaskan skuad Datuk Ong Kim Swee itu.

"Kami tahu apa yang perlu dilakukan dan secara jujurnya, kami sudah melakukan persiapan. 

"Kami bersedia untuk menempuhi situasi sukar dan pasukan saya dipersiapkan agar tidak mudah panik. 

"Kemudian, jaringan yang diharapkan datang pada minit-minit akhir perlawanan. 

"Sebab itulah jaringan itu amat memuaskan hati berikutan ia terhasil selepas kami beberapa kali berlatih gerakan itu," katanya. 
 

Advertisement

Must Watch Video