Kelantan United FC dan Perak FC masing-masing gagal merekodkan kemenangan pertama apabila terikat seri tanpa jaringan dalam aksi Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV petang tadi.
Perak FC dilihat lebih garang mengasak kubu tuan rumah sebelum Sang Kijang Hijau menunjukkan kebangkitan pada minit ke-20 untuk mengimbangi perlawanan.
Beberapa percubaan dilakukan ke gawang masing-masing dalam menamatkan kebuntuan gol pada separuh masa pertama namun gagal menghasilkan jaringan menyaksikan kedua-dua pasukan memasuki bilik persalinan dengan kedudukan 0-0.
Memasuki babak kedua perlawanan, pasukan tuan rumah mempamerkan aksi lebih menyerlah dengan beberapa serangan mencemaskan digerakkan oleh penyerangnya Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin namun masih gagal menemui pintu gol.
Begitupun kemasukan pemain tengah import tuan rumah, Ernist Batyrkanov merubah taktikal skuad kendalian Tomas Trucha pada minit ke-78 berjaya mencipta peluang pada minit-minit akhir perlawanan.
Batyrkanov hampir memecah kebuntuan gol menerusi hantaran kemas di depan gawang lawan, bagaimanapun tandukan Devid De Santana Silva pada minit ke-83 mudah berjaya dibaca penjaga gawang pelawat, Tian Kiat See.
Peluang hadir sekali lagi melalui gerakan menarik Royyizzat Daud namun rembatannya sedikit tersasar membawa kepada keputusan kekal dengan kedudukan terikat 0-0 sehingga wisel penamat.
Dalam dua perlawanan sebelum ini Kelantan United mencatatkan dua kekalahan manakala Perak pula tewas satu, seri satu perlawanan.
kredit: SInar Harian
Sinar Harian
Sat Mar 04 2023