Skip to main content

Bola Sepak

Kelantan terus berlatih tanpa kelibat Fajer

yusri.jpg
Kelibat Fajer Ibrahim bersama Kelantan kembali menjadi persoalan apabila jurulatih itu tidak kelihatan ketika sesi latihan pasukan di Kangar semalam dan penolongnya, Yusri Che Lah, mengendalikan pasukan.

Yusri ketika ditemui sukar menjelaskan kedudukan Fajer bersama pasukan kini.

Namun, bekas pemain tengah kebangsaan itu mengesahkan dia diarahkan pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) untuk mengendalikan pasukan dalam aksi Liga Super berdepan Kedah di Alor Setar, malam ini.

"Saya tidak boleh memberikan ulasan mengenai perkara ini kerana di bawah pengetahuan saya, perkara yang berlaku masih tidak rasmi," kata Yusri.

"Buat masa ini saya menjalankan tugas yang telah diberikan kepada saya untuk mengendalikan pasukan.

Sementara itu, Kelantan akan diperkuatkan dua tonggak import baru berdepan Kedah, iaitu penyerang, Lazarus Kaimbi dari Namibia, dan Bakhtiyar Duyshobekov, pemain tengah dari Kyrgyzstan.

Kaimbi mempunyai pengalaman beraksi tujuh musim dengan tiga kelab Liga Satu Thailand sebelum ini manakala Baktiyar adalah bekas pemain tengah FC Doroi di Kyrgzstan.

Yusri mengharapkan pengalaman dua pemain itu untuk menjelmakan aksi positif ketika berdepan Kedah.

"Sebarang kepincangan yang berlaku, saya tidak boleh berkata apa-apa. Tetapi kami akan terus berusaha untuk menampilkan aksi yang lebih baik berdepan Kedah selepas ini."

Advertisement

Must Watch Video