Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Kekuatan mental, keyakinan tinggi bekalan Lang Merah jumpa The Bos Gaurus

110317-tan-cheng-hoe.jpg
Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, menyifatkan dua elemen penting, iaitu kekuatan mental dan keyakinan tinggi, patut ada pada pemainnya sebelum turun menentang Perak dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Perak, malam ini.

“Perak boleh dilabelkan sebagai sebuah pasukan yang kuat dalam Liga Malaysia. Gabungan pemain berpengalaman dan muda yang berkualiti menjadikan mereka sebuah pasukan yang perlu dihormati. 

“Untuk perlawanan penting malam ini, saya sentiasa ingatkan pemain untuk memiliki kekuatan mental yang hebat dan keyakinan diri bagi membolehkan Lang Merah terus mempamerkan aksi terbaik, sekaligus layak ke suku akhir,” katanya. 

Cheng Hoe juga mahukan semua pemain Lang Merah sentiasa tenang dan tidak mudah melakukan sebarang kesilapan mudah di depan ribuan penyokong The Bos Gaurus.

“Sebenarnya, bukan aksi mudah apabila diundi menentang Perak di stadium mereka sendiri. Sokongan padu daripada penyokong setia sentiasa menjadi pembakar semangat The Bos Gaurus mencipta kejutan dan kemenangan.

“Pemain saya perlu sentiasa bertenang dan jangan melakukan sebarang kesilapan mudah yang boleh melemahkan semangat pasukan."

Ditanya kemungkinan menurunkan pemain tengah berpengaruh, Baddrol Bakhtiar, bagi memperkuatkan barisan tengah Kedah, Cheng Hoe menjelaskan beliau masih menunggu laporan terkini tahap kecergasan pemain itu yang dilanda masalah hamstring sebelum ini.

“Saya masih menunggu laporan penuh tahap kecergasan Baddrol dan tengok macam mana keadaan perlawanan malam ini. Dia ada bersama dengan pasukan sekarang," tambahnya. 

Untuk rekod, aksi kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super musim lepas memihak kepada Kedah apabila menumpaskan Perak 3-1 di Stadium Darulaman dan seri tanpa jaringan di Stadium Perak.
 

Advertisement

Must Watch Video