Pemain tengah Colombia, Edwin Cardona, bakal berdepan hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas melakukan isyarat perkauman ketika pasukannya tewas 2-1 kepada Korea Selatan, semalam.
Insiden tersebut berlaku pada minit ke-63 apabila ketegangan berlaku di antara James Rodriguez dan Kim Jin-su.
Cardona, yang hadir ke dalam perlawanan sebagai pemain gantian, mencemuh pemain-pemain Korea dengan melakukan isyarat "mata sepet" ketika pegawai perlawanan cuba meredakan ketegangan yang berlaku.
Pengendali Colombia, Jose Pekerman, enggan menjelaskan insiden itu apabila menegaskan beliau tidak melihat perkara tersebut dilakukan oleh pemainnya.
"Saya tidak melihat isyarat itu, jadi saya tidak boleh mengulas mengenainya," katanya.Colombia's Edwin Cardona posts a video apology after his racist gesture towards South Korean players
— Tom Kavanagh (@_TomKavanagh) November 10, 2017
"I didn't mean to disrespect anyone, a country or a race. I'm sorry if anybody was offended"pic.twitter.com/xiw4CUSS8h pic.twitter.com/2bOJ8tGBhe
"Ini merupakan perlawanan yang melibatkan fizikal. Perkara-perkara yang tidak diingini sering berlaku di atas padang. Saya tidak boleh mengulas mengenai perkara ini kerana tidak melihat dengan mata saya sendiri," ujarnya.
Pemain tengah Korea, Ki Sung-yueng menyifatkan sebarang isyarat perkauman "tidak boleh diterima".
Penyerang Tottenham, Son Heung-min, menyumbat kedua-dua gol Korea manakala Cristian Zapata menjaringkan gol sagu hati buat Colombia di Stadium Piala Dunia Suwon.
Bagaimanapun, selepas perlawanan, Cardona telah memohon maaf di atas perbuatannya menerusi pesanan video laman twitter skuad Colombia.
"Saya tidak bermaksud untuk tidak menghormati sesiapa, negara mahupun bangsa, tetapi jika terdapat pihak yang tersinggung di atas perbuatan itu, saya memohon maaf.
"Saya mahu memberitahu bahawa saya bukan seorang yang agresif. Sekali lagi saya memohon maaf di atas perbuatan tersebut."