Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Kejayaan benam PSG lonjak musim Man United -- Smalling

smalling.jpg
Chris Smalling percaya kemenangan Manchester United ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) kelmarin akan melonjakkan kelab itu untuk baki saingan musim ini.

United meraih kemenangan dramatik 3-1 di Parc des Princes untuk mara ke suku akhir berdasarkan peraturan jaringan di tempat lawan di sebalik terikat dengan agregat 3-3. 

Tumbang 0-2 dalam pertemuan pertama serta beraksi tanpa 10 tonggak senior akibat kecederaan dan penggantungan, United memimpin permainan 2-1 menerusi dua jaringan Romelu Lukaku sebelum Marcus Rashford menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan selepas mendapat pembelaan sistem video bantuan pengadil (VAR).

Selepas memainkan peranannya untuk membantu United menjadi wakil Inggeris pertama dalam sejarah UCL untuk maju dalam perlawanan kalah mati di sebalik tewas dengan dua gol atau lebih di tempat sendiri, Smalling yakin kemenangan itu akan menjadi dorongan buat mereka mengharungi fasa terakhir musim ini.

"Selepas Rashford menjaringkan gol dan kami semua pergi ke satu sudut, saya menjerit sebanyak mungkin sehingga saya berasa pening," katanya kepada laman sesawang rasmi Manchester United.

"Saya menuju ke bilik persalinan selepas itu dan bercakap dengan Luke (Shaw). Saya berkata kepadanya tentang bagaimana saya berasa pening dan dia berkata perkara yang sama juga.

"Ia adalah satu perasaan dan detik yang sukar dipercayai, ia akan melonjokkan kami sehingga akhir musim ini.

"Saya fikir pemain lawan anggap kami sudah tiada peluang untuk bangkit dan boleh memberikan saingan supaya mereka kalah. 

"Tetapi kami tahu kami mempunyai perancangan permainan sebagai sebuah pasukan untuk menggagalkan mereka pada masa-masa tertentu serta sedar kami akan memperoleh peluang dalam serangan balas."

Tambahnya: "Saya fikir kami boleh menjaringkan beberapa gol lagi dan PSG mungkin mendominasi permainan tetapi saya berasakan kami mempunyai peluang yang lebih baik. 

"Pujian penuh untuk barisan pemain dan pelan perlawanan itu. Kami terus mengekalkan taktikal biarpun dilanda tekanan. 

"Ia mencerminkan kelab ini. Saya fikir ia adalah masa yang tepat untuk menjadi sebahagian daripada kelab ini.

"Sudah tentu tiada trofi ditawarkan untuk perlawanan itu tetapi daripada segi permainan dan detik dalam kerjaya saya, kami pasti mampu meraih kejuaraan."

Manchester United akan ke Stadium Emirates untuk menghadapi Arsenal yang menduduki tangga kelima liga, awal pagi Isnin ini. 
 

Advertisement

Must Watch Video