Skip to main content

Bola Sepak

Kehadiran Beckham lonjak semangat Three Lions

beckham.jpg
David Beckham akan memberikan sokongan di Kaliningrad tetapi Gareth Southgate mencabar anak buahnya mencipta legasi mereka sendiri di Russia.

England akan berdepan Belgium dalam aksi terakhir Kumpulan G saingan Piala Dunia, awal pagi esok, dengan kedua-dua pasukan itu telah melayakkan diri ke pusingan kalah mati di atas kemenangan bergaya ke atas Tunisia dan Panama.

Harry Kane mendahului carta penjaring dengan lima gol di Russia 2018 setakat ini, dalam kejohanan di mana pasukan pilihan gagal memberikan impak dan juara bertahan, Jerman, telah dihantar pulang.

The Three Lions meletakkan sasaran untuk mencipta kemenangan ketiga dalam saingan kumpulan buat kali pertama sejak 1982.

Bekas pemain Manchester United dan Real Madrid, Beckham, merupakan kapten England ketika membawa pasukan mara ke pusingan suku akhir pada 2002 dan 2006.

Bercakap dalam sidan media, Southgate menyambut baik sokongan daripada rakan senegaranya itu dan mencabar skuad kendaliannya untuk mencipta legasi mereka sendiri.

"Saya menerima pesanan daripada Beckham sebelum kejohanan bermula dan sebelum aksi pertama dan kedua. Ia merupakan sesuatu yang baik kerana kami mendapat sokongan daripada bekas pemain-pemain ini," kata Southgate.

"Kejohanan kali ini adalah mengenai pemain-pemain yang beraksi di Russia dan mereka berpeluang untuk melakar sejarah."

Rakan sepasukan Beckham, Frank Lampard, turut mencadangkan England mampu mencipta kejayaan di Russia selepas meraih kemenangan 6-1 ke atas Panama dan 2-1 ke atas Tunisia.

Salah seorang pemain dalam skuad kendalian Soutgate, Eric Dier, mengelak daripada melepaskan kata-kata yang berani ketika bercakap di samping pengurusnya.

"Tiada apa yang telah kami bincangkan. Kami memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan demi perlawanan," katanya.

"Dalam kejohanan dan bola sepak, anda tidak boleh memandang terlalu jauh kerana ia akan mendatangkan masalah kepada anda."
 

Advertisement

Must Watch Video