Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Kedah puas hati ikat JDT

khairul-helmi-digo-jdt-kedah.jpg
Pengendali pasukan Kedah, Aidil Sharin Sahak, berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan pemainnya walaupun hanya berkongsi satu mata dalam pertemuan dengan JDT, malam tadi. 

Beliau mengakui ia bukan pertemuan yang mudah di Stadium Darulaman, namun berbekalkan kesungguhan dan semangat juang tinggi, anak buahnya menidakkan mata penuh pelawat.

"Konsisten itu yang penting. Apabila kita konsisten bermain dalam corak permainan pantas, kita mampu mengawal perlawanan secara berdisplin dan memberi tentangan di kawasan masing-masing.

"Alhamdulillah, konsistensi yang ditunjukkan berhasil apabila kami menyekat setiap kemaraan pasukan lawan untuk menambah jaringan dan pada masa yang sama, pemain kami terus mencipta peluang yang menarik.

"Saya memuji semua pemain yang memberi komitmen 100 peratus kepada pasukan apabila diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab yang diberikan," katanya kepada pemberita, malam tadi. 

Aidil Sharin berkata prestasi terbaik turut dipamerkan penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim, kerana telah menidakkan sekurang-kurangnya tiga percubaan tepat di hadapan pintu gol.

Selain itu, barisan pemain pertahanan yang diketuai Khairul Helmi Johari turut mengekang pemain JDT daripada bergerak bebas walaupun tanpa pertahanan import, Renan Alves.

Dalam perlawanan penuh dramatik itu, Kedah mengikat JDT 1-1 menerusi jaringan Fernando Rodriguez pada minit ke-29 biarpun pelawat terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-10 menerusi sepakan percuma Muhammad Safawi Rasid.

"Tahniah juga kepada penyokong yang hadir memenuhi stadium kerana membantu meniup semangat pasukan untuk bermain bermati-matian malam ini," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan JDT, Luciano Figueroa, berkata pasukannya telah pun berusaha menambah jaringan, namun kecemerlangan penjaga gol Kedah, Ifwat, dan kekebalan pertahanan negeri ini menyebabkan pemainnya gagal untuk menambah gol.

Sehubungan itu, katanya, JDT akan terus berusaha memperbaiki beberapa kelemahan agar terus kekal di kedudukan teratas carta.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video