Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Kedah perlu kerja keras berdepan Pahang, JDT

asiana-62490.jpg
Kedah perlu bekerja keras dalam pertemuan menentang Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila tonggak utama pertahanan, Renan Da Silva Alves, tidak dapat diturunkan akibat dilayangkan kad merah ketika bertemu PKNS FC di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Bagaimanapun, pengendalinya, Aidil Sharin Sahak, yakin Kedah mampu memberi tentangan sengit dengan melakukan beberapa percaturan semula pasukan dalam misi menguatkan pasukan.

"Renan perancang utama permainan tapi dia tidak dapat bermain dalam dua perlawanan bertemu Pahang dan JDT selepas ini.

"Jadi, saya kena rancang semula pemain tanpa kehadiran Renan kerana kami sedar kami akan bermain tanpanya.

"Dalam masa ini, saya perlu kembalikan keyakinan pemain, kembali berlatih dengan gigih, menyusun strategi kerana berhadapan Pahang bukanlah sesuatu yang mudah," katanya.

Kedah akan menentang Pahang, Jumaat ini dan JDT, penghujung bulan ini.

Dalam pertemuan dengan PKNS malam tadi, Renan diarahkan keluar padang selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaacob, kerana menghantuk kepala Muhammad Faizat Ghazli pada minit ke-86.

Sementara itu, Aidil berkata Kedah banyak mencipta peluang menjaringkan gol, terutama dalam separuh masa kedua, namun nasib tidak menyebelahi pasukannya.

"Saya gembira dengan prestasi yang ditunjukkan kerana kita lihat pemain bermain bermati-matian menyekat serangan pihak lawan dan mencipta beberapa peluang," katanya.

Sementara itu, pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, berkata anak buahnya menunjukkan komitmen permainan yang cukup sempurna apabila mampu menyekat kemaraan pasukan Kedah.

"Datang ke sini untuk dapat satu mata adalah baik, kami berjaya beri tekanan kepada Kedah dengan hantaran-hantaran pendek. Walaupun babak pertama perlawanan adalah lebih baik, saya puji anak buah saya kerana satu mata cukup baik bermain di tempat lawan," katanya.

Beliau mengharapkan pasukannya kekal dengan prestasi demikian dalam misi mengutip tiga mata bertemu Felda United di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Dalam perlawanan malam tadi, Kedah dan PKNS berkongsi satu mata apabila kedua-dua pasukan itu tidak menjaringkan sebarang gol.

-- BERNAMA
 

Advertisement

Must Watch Video