Skip to main content

Bola Sepak

Kedah Darul Aman tidak rela hilang momentum kemenangan

kedah-darul-aman.jpg
Ketiadaan ketua jurulatih, Nafuzi Zain, yang digantung tiga perlawanan berikutan keputusan tindakan tatatertib susulan layangan kad merah dalam perlawanan pusingan pertama Liga Super 2023 menentang PDRM FC tidak mematahkan semangat pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Penolong ketua jurulatihnya, Victor Andrag, berkata Sang Kenari masih mampu meneruskan momentum dan taktikal seperti yang dirancangkan oleh Nafuzi semasa menang 3-0 ke atas Perak FC dalam aksi ke-14 Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi. 

Dia berharap momentum berkenaan dapat terus ditingkatkan kerana perjalanan liga yang masih panjang selain bakal berdepan saingan sengit bertemu Terengganu FC 3 Julai depan.

"Ketiadaan Nafuzi memang menganggu momentum pemain dalam perlawanan ini, namun saya yakin mereka akan menjalankan tanggungjawab dan tetap memberikan prestasi yang terbaik.

"Malam ini memang kami jangka akan dapat tiga mata di laman sendiri. 




"Kami tidak mahu kalah lagi dan pemain telah memberikan yang terbaik dan berjaya mendapatkan tiga gol, apa lagi yang boleh kami mahu daripada mereka," katanya dalam sidang media di Stadium Darul Aman.

Penggantungan Nafuzi bermula dalam aksi bertemu Perak FC dan ketua pasukan, Manuel Ott, juga turut digantung dua perlawanan susulan kad merah pada perlawanan menentang PDRM tersebut.

Bagaimanapun, Victor menjelaskan masih lagi ada ruang kelemahan yang perlu dibaiki dan perkara tersebut sentiasa diberikan perhatian oleh barisan kejurulatihan dalam setiap perlawanan.




"Sebenarnya setiap perlawanan kami kenal pasti kelemahan dan masalah ini akan kami atasinya dalam aksi perlawanan persahabatan ketika saingan Liga Super berehat buat sementara waktu," ujarnya lagi.

Dalam perlawanan tersebut, Amirbek Juraboev muncul hero KDA FC apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-26 dan 53, manakala satu lagi jaringan dihasilkan menerusi Willian Lira pada minit ke-67.

Kejayaan meraih kemenangan kesembilan daripada 14 perlawanan tersebut menyaksikan Sang Kenari berjaya mendaki satu anak tangga ke kedudukan ketiga Liga Super buat sementara waktu dengan mengumpul 28 mata.

Kredit: Sinar Harian 

Advertisement

Must Watch Video