Skip to main content

Bola Sepak

Kedah Darul Aman dipesan hemah berbelanja

kedah-darul-aman.jpg
Kedah Darul Aman FC (KDA FC) diingatkan agar menguruskan perbelanjaan menghadapi Liga Malaysia 2024-2025 dengan baik dan berhemah agar masalah tunggakan gaji yang berlaku pada musim lalu tidak berulang.

Exco Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri Kedah, Muhammad Radhi Mat Din berkata, barisan penaja yang akan bersama Sang Kenari pada musim baru ini juga diharapkan membantu dan mengikut terma-terma syarat dijanjikan agar fokus pemain tidak terganggu semasa saingan liga berlangsung.


Menurut bekas pemain dan jurulatih Kedah itu, KDA FC tidak perlu terikut-ikut dengan pasukan lain berbelanja besar bagi mendapatkan pemain bintang sehingga akhirnya membebankan kewangan mereka.

“Kadang-kadang kita terikut dengan usaha pasukan lain dan pastilah tiada mana-mana pasukan yang tak mahu bila liga bermula, pasukan dibelasah.




“Mesti ada niat masing-masing nak memperkuatkan pasukan tapi dalam masa yang sama kita kena menilai tentang keupayaan kelab masing-masing

“Sebab sejarah yang berlaku hari ini, kadang-kadang kita berbelanja melebihi atau keluar daripada keupayaan menyebabkan kita tak mampu untuk membayar gaji, mengurus pasukan sehingga habis musim,” katanya petang semalam. 

Beliau berkata demikian selepas Iftar Ramadan Perdana dan Penyampaian Sumbangan anjuran Pasar Raya Mydin di Taman Saga, Alor Setar.

Muhammad Radhi berkata, barisan penaja juga perlu menunaikan janji dengan membuat pembayaran seperti ditetapkan bagi melancarkan pengurusan kelab sepanjang musim. -- Sinar Harian 

Advertisement

Must Watch Video