Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel, menjelaskan bahawa penyerang, Zaquan Adha Abd Radzak, tidak akan dapat beraksi bersama skuad kebangsaan selepas dihimpit kecederaan.
Zaquan terpaksa terima hakikat badi kecederaan sering melanda ketika namanya berada dalam skuad kebangsaan untuk membantu Malaysia di pentas antarabangsa.
Itulah hakikat yang dialami pemain ini selepas 10 tahun menyepi dari arena antarabangsa, dengan aksi di Lubnan menjadi penampilan semula Zaquan pada Mac lalu.
Kehampaan kembali menyelubungi anak jati Negeri Sembilan itu kerana ketika namanya mendapat perhatian jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, dia pula mengalami kecederaan serius yang menafikan penglibatannya bersama skuad negara.
"Zaquan terlepas banyak sesi latihan kerana menjalani proses pemulihan. Saya berharap dia segera pulih dan kembali beraksi," kata Maciel.
Tegas pengendali Kuala Lumpur itu, adalah mustahil untuk Zaquan kembali bersama skuad negara buat kali kedua tahun ini selepas pemain itu mengalami kecederaan serius bertemu Melaka dalam aksi Liga Super, bulan lalu.
Jika dilihat kepada senarai yang dikeluarkan Cheng Hoe, Zaquan sepatutnya melapor diri di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 1 Julai ini, sebelum ujian aksi persahabatan kelas A bertemu Fiji pada 5 Julai.
Ia juga merupakan gandingan kali pertama bagi tempoh 10 tahun bersama Aidil Zafuan Abd Radzak yang turut berada dalam senarai pilihan Cheng Hoe, namun hasrat itu nampaknya masih belum dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
Imej: Asiana
Penulis Jemputan
Mon Jun 25 2018